NILAI KASIHMU (1)


.

Episod 1






             Kakinya dihayunkan dengan perlahan di beranda rumahnya. Sambil itu tak habis-habis dia mengeluh mengenangkan nasibnya. Surat tawaran yang diterima semalam memang mengujakan dirinya. Apatah lagi dia akan ditawarkan biasiswa. Dengan girangnya, petang semalam dia berlari pulang ke rumahnya. Harapannya supaya ibunya memberikan izin kepadanya untuk menjejakkan kaki ke menara gading yang telah diimpikannya sejak di sekolah menengah lagi. Bila dia pulang dan tunjukkan surat itu kepada kedua orang tuanya, ayahlah yang paling gembira. Tapi riak wajah ibunya menunjukkan sebaliknya. Dia yang ketika itu sedar perubahan wajah ibunya, senyuman di bibirnya mula pudar. Dia pasti, ibunya akan menentang keputusannya untuk ke sana.  Sambil dia mengimbas perkara semalam, sempat dia memasang telinga mendengar ibunya berbual bersama abahnya di bawah rumah. Seboleh-bolehnya dia menyorok ke dalam sedikit untuk mendengar perbualan orang tuanya bila dia terdengar namanya disebut sebentar tadi.

       “ Abang ni suka sangat manjakan Arisya tu. Apa yang budak tu nak, kalau boleh semua abang ikut je. Habis tu bila Suhaila yang beria-ia nak sambung belajar kat Bandar tu tak nak pula abang bagi. Nampak sangat abang pilih kasih!” Bising ibunya merungut. Arisya diam menunduk. Sambil itu hujung tudungnya digenggam erat. Sebentar lagi dia mahu keluar pergi ke pasar. Tapi sebelum tu dia perlu siapkan sarapan pagi dahulu.

       “ Bukan abang pilih kasih Idah. Suhaila tu nak sambung belajar sambunglah. Abang tak kisah. Tapi masalahnya, si Suhaila tu mohon belajar kat kolej swasta di Kuala Lumpur tu. Mana abang nak cari duit Idah. Beribu pula tu yuran dia setiap sem. Tu belum lagi dia duduk rumah sewa lagi. Saya setuju Arisya sambung pun sebab dia ditawarkan biasiswa. Sekurang-kurangnya beban saya kurang sikit Idah. Awak kena faham tu.” Pujuk ayahnya dengan lembut. Bagi Arisya, ayahnya memang seorang lelaki yang baik dan penyabar. Walaupun ibunya kadang-kadang meninggikan suara terhadap ayahnya, lelaki tua itu tetap membalas dengan lembut kata-kata isterinya. Dia tahu, dah lama ayahnya terasa dengan sikap ibunya itu.

        “ Ah, abang ni! Ada je alasan. Apa pun yang abang fikirkan, Idah tetap akan turut kehendak Suhaila tu.” Rungut ibunya.

    Terdengar derapan ibunya berjalan ke belakang rumah. Arisya duduk bersandar di dinding rumah. Saat itu dia terkenangkan arwah emaknya yang sudah meninggal hampir 10 tahun lalu. Semasa itu usianya baru menjangkau lapan tahun. Hanya tangisan yang asyik menghiasi wajahnya pada masa emaknya dikebumikan. Kemalangan yang tidak dijangka telah meragut nyawa emaknya. Baginya, tiada siapa yang boleh menggantikan tempat emaknya. Emaknya seorang wanita yang penyayang, penyabar dan bijak dalam menyelesaikan masalah. Namun dia tabahkan hatinya dalam mengharungi liku-liku yang mendatang. Setelah tiga tahun dia hidup bahagia bersama ayahnya, dengan khabar berita yang ayahnya mahu berkahwin semula telah membuatkan dia berasa terluka. Kehadiran seorang janda dan bersama anak perempuannya di rumah tiga tahun turut meleyapkan kebahagian yang selama ini dirasakan ayahnya. Bunyi cerek air yang kuat itu membuatkan dia tersentak. Dia beristighfar. Cuba melupakan perkara yang lepas. Dengan segera dia berlari anak ke dapur. Api gas dapur ditutupnya. Bekas berisi kopi di tepi rak cawan diambilnya. Dia membancuh kopi ke dalam teko. Ketika itu dia terdengar derapan seseorang masuk ke dapur. Rumahnya dibina dengan papan kayu, jadi sesiapa yang bergerak dalam rumah tu memang senang dia dengar.

     “ Huh, ngantuknya!” Kata seseorang dari belakang. Suhaila duduk di kerusi meja makan. Sambil itu dia menggosok matanya berulang kali. Rambutnya yang paras bahunya dikemaskan. Dia memandang adik tirinya yang sedang tekun membancuh kopi. Suhaila sebaya adiknya, cuma dia tua enam bulan dari gadis bertubuh kecil itu. Kalau nak dibandingkan dirinya dengan Arisya, dia tinggi lampai, tapi Arisya badannya kecil molek. Mungkin mengikut ketinggian ibu masing-masing.

     “ Isya masak apa pagi ni?” Tanya Suhaila lembut. Walaupun ibunya tidak berapa suka dengan Arisya sejak dulu lagi, dia sebaliknya. Dia senang dengan sifat adik tirinya. Yang membezakan dirinya dan Arisya, gadis itu lebih rajin dan pandai memasak. Kadang-kadang Suhaila terasa cemburu dengan Arisya. Gadis itu bagaikan pakej lengkap. Dengan wajahnya yang putih berseri tanpa cela, dengan kebijakan gadis itu, dan juga pandai dalam menguruskan rumah dan masak telah membuatkan Suhaila kadang-kadang terasa jauh beza dengan Arisya.

     “ Buat nasi lemak sambal sotong. Kan semalam Aila ada cakap teringin nak makan kan. Hari ni Isya bangun awal sikit untuk masak.” Balasnya. Dia membawa kopi yang sudah dibancuh ke atas meja.

      “ Sedapnya!” Teruja Suhaila berkata. Matanya seakan-akan bersinar bila melihat Arisya menuangkan sambal sotong ke dalam mangkuk dan diletakkan di depannya.

      “ Kalau sedap, makanlah banyak-banyak.” Ujarnya. Gembira dia bila melihat Suhaila makan dengan begitu berselera.

      “ Isya tak makan?” Tanya Suhaila sebaik sahaja dia menyedari gadis itu memandangnya dari tadi. Isya menggelengkan kepala.

      “ Isya dah makan dah. Isya makan roti sapu mentega tadi. Isya tak boleh makan pedas pagi-pagi ni. Terasa sakit perut semalam pun tak hilang lagi.” Balasnya. Suhaila angguk tanda faham dan terus menyuapkan nasi ke dalam mulutnya.

       “ Aila, jadi ke Aila nak pergi Kuala Lumpur tu?” Tanya Isya. Suapannya terhenti. Dia pandang Isya lama.

       “ Aila nak sangat pergi. Tapi, ayah macam berat nak bagi. Lagi pun kawan Aila dah carikan rumah sewa kat sana. Lagi rasa bersalah pula Aila rasa sekarang ni.” Luahnya.

       “ Kalau Aila betul nak belajar kat sana, nanti Isya pujuk ayah.” Dengar sahaja gadis itu berkata begitu, riak wajah Suhaila berubah . Dia mula berasa gembira.

       “ Betul ke Isya? Tapi, mesti ayah tetap berat hati nak bagi. Sebab yuran dia mahal Isya. Isya takpelah dapat tawaran belajar kat universiti kerajaan. Aila ni satu tawaran pun tak dapat.” Dirinya berubah sedih semula. Namun suapannya tetap diteruskan. Arisya terdiam. Ada benar kata Suhaila tu. Yuran pengajian di kolej tersebut membuatkan ayahnya berfikir banyak kali untuk setuju dengan kehendak anak tirinya itu.

       “ Urm, Aila janganlah fikir sangat. Nanti Isya pandai-pandailah fikirkan macam mana nak pujuk ayah.” Pujuknya. Suhaila terus senyum. Dia yakin dengan kata-kata gadis itu. Dia tahu, Arisya memang bijak dalam memujuk ayahnya.

                        ***********************************************



   Kayuhan basikal diperlahankan. Basikal itu ditongkatkan dan diletak di tepi pondok kecil. Kakinya melangkah menuju ke depan mencari kelibat Pak Samad, ayahnya.

       “ Assalamualaikum ayah.” Lembut dia menyapa lelaki tua itu. Pak Samad menoleh ke belakang sambil mengelap peluhnya. Demi melihat anak tunggalnya, dia tersenyum. Arisya mengangkat bakul berisi makanan kepada ayahnya.

         Mari makan dulu ayah. Dah naik tengahari dah ni. Ayah tak sempat makan pun pagi tadi kan. Minum kopi je...” Kata Arisya. Pak Samad mengajak anaknya ke pondok kecil yang kukuh berdiri tidak jauh di situ.

      Bersinar matanya melihat lauk yang anaknya bawa. Rebung masak cili api, ulam dan juga ikan masin goreng sudah cukup membuatkan dia berselera. Isya mengeluarkan pinggan plastik dan menyediakan makanan untuk ayahnya. Pak Samad meneliti wajah anak daranya itu. Saling tak tumpah seperti arwah emaknya. Arisya gadis yang comel dan cukup bijak. Malah sifat arwah isterinya turut turun kepada anaknya.

        “ Ayah…”

        “ Hmm…” Balas ayahnya. Mulutnya penuh dengan nasi dan lauk.

         “ Ayah bagilah Aila sambung belajar kat sana.” Ringkas dia memulakan bicara. Pak Samad memandang anaknya minta penjelasan yang lebih.

         “ Kalau ayah rasa berat hati pasal yuran tu, ayah janganlah risau. Pakai duit simpanan Isya.” Pujuknya. Terus ayahnya meletakkan pinggan di atas lantai. Dia meneguk air sirap dengan perlahan.

         “ Buat apa susah-susah nak pakai duit simpanan tu. Ayah simpankan duit tu untuk Isya pakai bila susah nanti.” Bidas ayahnya dalam nada yang tegas.

         “ Ayah, Isya tak habis cakap lagi. Maksud Isya bukan pakai semuanya. Pakailah sikit, buat tambah belanja untuk Aila nanti. Sekurang-kurangnya kurang sikit beban ayah. Lagi pun Isya dah fikirkan hal ni dah. Isya tak kisah ayah. Takkanlah ayah nak biarkan Aila tak sambung belajar.”

         “ Ayah tak halang dia nak belajar. Nak belajar pun belajarlah. Tapi takkan kat sana je tempatnya. Sedangkan kat sini pun ada pusat kemahiran untuk dia belajar.”

         “ Ayah, dah kat sana je ada tawarkan bidang yang Aila nak. Lagi pun Aila kan memang minat fesyen dari dulu. Kesian kat Aila tu. Lagi pun ayah, Isya boleh suruh Aila cuba mohon bantuan zakat. Mana tahu dapat. Tapi kalau tak dapat, dia boleh mohon pinjaman PTPTN. Sekurang-kurangnya, pinjaman tu biarlah dia yang bayar kalau dah dapat kerja nanti. Boleh ye ayah…” Pujuknya lagi dengan penuh harapan. Ayahnya memandang sayu anaknya itu. Kenapalah hatimu ni lembut sangat anak. Selalu sangat memikirkan hal orang lain dari hal sendiri.

          “ Isya pula tak nak sambung?” Tanya ayahnya. Isya terdiam sambil menunduk. Dia terfikir kata ibunya semasa dia menolong ibunya memasak tadi.

          “ Kalau dah si Aila tu ke sana, kamu pun ke sana, siapa nak tolong aku kat rumah ni? Ni, masak, kemas rumah, baju bertimbun nak jahit tu, siapa yang nak tolong? Kamu tak kesian ke kat aku ni Isya? Sanggup kamu biarkan ibu buat semua ni sorang-sorang?” Sengaja Mak Idah membangkitkan soal yang tak sepatutnya kepada Arisya. Serba salah gadis itu dibuatnya.

          “ Isya, ayah tanya kamu ni. Kenapa termenung pula?” Pertanyaan ayahnya membuatkan dia tersedar. Dia tersenyum pahit.

          “ Isya kalau boleh nak ayah. Tapi Isya kesiankan ibu kat rumah. Baju-baju orang tempah tu siapa nak tolong jahitkan. Kesian ibu buat sorang-sorang.” Luahnya. Pak Samad mengeluh. Dia membasuh tangannya. Kemudian dilapnya pada kain tuala kecil yang berada di sisi.

          “ Jangan tolak rezeki Isya. Bila lagi peluang macam ni nak datang. Kalau Isya tinggal kat kampung ni, alamatnya sampai bila pun Isya takkan maju.” Ayahnya berkata. Isya tersenyum saja. Tak mampu nak balas kebenaran kata-kata itu.  Sambil itu sengaja dibetulkan tudungnya.

          “ Nantilah ayah fikirkan cadangan kamu pasal si Aila tu. Buat masa sekarang, ayah nak satu je. Ayah nak kamu terima peluang tu. Demi ayah. Boleh?” Isya pandang ke arah ayahnya. Mendengarkan perkataan demi ayah itu cukup membuatkan hatinya lemah. Lambat-lambat dia mengangguk setuju. Pak Samad mengukirkan senyuman lega dan mengusap lembut kepala anaknya.


                                 **********************************************



      Arisya dan Suhaila duduk di ruang tamu sambil menonton berita di televisiyen. Sambil itu, dua beranak itu pasang telinga bila kedua orang tua mereka berbincang di dapur. Sengaja Suhaila perlahankan suara televisyen tersebut. Arisya pura-pura menonton, sedangkan dia dengar segalanya yang diperkatakan ayah dan ibunya.

          Habis tu, abang setujulah ni nak bagi Aila ke sana? Betul ni abang?” Teruja Mak Idah bertanya. Kata-kata suaminya tadi cukup membuatkan dia berasa gembira. Pak Samad mengangguk perlahan sambil menghirup kopi.

     Wajah Suhaila berubah riang. Dia memandang Arisya di sebelah dan menghadiahkan senyuman manis kepada gadis itu. Isya membalas senyuman Suhaila dengan tenang. Sambil itu sempat Suhaila memeluk erat Arisya dan membisikkan ucapan terima kasih. Isya tergelak kecil.

       “ Tapi saya nak si Isya tu pun sambung belajar. Alang-alang dia dah dapat biasiswa, takkan nak lepas macam tu je. Sayang je kalau lepas.” Kata Pak Samad. Mak Idah terdiam. Lama dia berfikir.

       “ Tapi bang, kalau Isya takde kat sini susah saya bang. Tu baju banyak-banyak tu, siapa nak tolong?” Ungkitnya. Tak senang dirinya dengar yang suaminya mahu Arisya sambung belajar.

       “ Awak tak payahlah ambil banyak sangat tempahan. Ambil mana yang mampu je. Lagi pun saya setuju ni pun sebab Isya nak pinjamkan sikit duit simpanan untuk Aila nanti buat belanja rumah sewa nanti. Dah banyak dia berkorban. Kalau awak nak juga Isya duduk kat kampung ni je, baik awak suruh Aila duduk sekali dengan awak. Tolong awak sekali. Kan mudah tu.” Senang Pak Samad menuturkan segalanya. Terdiam Mak Idah dibuatnya.

    Dia memikirkan tentang perkara itu secara mendalam. Bukan apa, kebanyakkan baju yang dijahit oleh Arisya memang kemas dan cantik. Lagi pun, dengan bantuan Arisya selama inilah, pelanggangnya makin bertambah. Bukan dia tak boleh harapkan anak daranya si Suhaila tu tolong, tapi Suhaila kalau tolong mesti minta balasan mahukan upah. Jadinya, dia malas meminta anak menolongnya. Berbanding dengan Arisya, gadis itu menurut tanpa banyak bicara. Malah sikit pun upah lansung tidak dimintanya.

      Arisya dan Suhaila yang sedang duduk di ruang tamu itu berdiam diri. Masing-masing memandang ke arah skrin televisyen, namun sebenarnya diri mereka berdua terfikirkan apa yang diperkatakan oleh Pak Samad dan Mak Idah. Suhaila terfikir adakah hanya disebabkan Arisya baru ayahnya bersetuju. Kenapa ayahnya lansung tak pandang atas sebab dia. Bagi Arisya pula, dia terfikirkan ibu tirinya. Serba salah dia mahu menurut kata siapa. Kali ni, sengaja Suhaila menguatkan suara televisiyen. Tapi Arisya bangun dan memperlahankan nada suara televisyen tersebut. Suhaila mengerutkan dahi.   
      
        “ Azan…” Ringkas Arisya berkata.  Barulah Suhaila faham. Terdengar azan Isyak brkumandang di surau berhampiran. Dia melihat Arisya menuju ke bilik air. Mungkin mahu mengambil air wudhu. Dia ditinggalkan keseorangan di situ. Termenung memikirkan kemelut yang melanda rumah itu. Baru hal belajar diungkit, sudah membuatkan ibu dan ayahnya hampir bertekak.



    

*Amacam bab first novel NILAI KASIHMU? Okay tak? Boleh diteruskan tak?hehe, kisah ini mengisahkan kehidupan dan kemelut yang bakal berlaku antara Arisya dan Suhaila. Bakal disambung untuk episod dua petang esok or malam esok. Untuk episode pertama ni hanyalah perkenalan dan ringkasan permulaan kisah kehidupan mereka berdua. Pape pun Sahara akan buat yang terbaik. Lagi pun tengah bosan kan, so, menaip jelah kerjanya.hehe…
      
     

   


  1. intro je dah best dek,but sedeh lah ngan nasib arisya dapat mak tiri cam tak de ati perut je.tak suke lah ngan mak tiri cam tu!!!dah lah aila tu bukan anak kandung pak samad.boleh!!pulak lah die kata pak samad pilih kasih,cam orang tk sedar diri je!!!payah gak kalu ade org terlebih perasan cam tu!!please lah arisya,jgn lah lepas kn peluang utk study ke menara gading..go for it arisya.......amat menarik n menyentuh perasaan hukhuk..

  1. time kasih norihan & baby mio...hehe..keep follow k...thankz =)

  1. sambung la lagi. permulaan dah best. 6ti mesti lg best kan?

  1. hehe..mekasih zati.mlm nnt update ep 2..dont worry..keep reading k=)