NILAI KASIHMU (2)


.


Episode 2







Tiga tahun kemudian....




   Tudungnya dibuka dan digantung di tempat penyangkut. Dia duduk di atas katil melepaskan penatnya. Jam ditangan dilihat waktunya. Bolehlah ni lelap kejap. Maria teman sebiliknya yang baru sahaja selesai mandi masuk ke bilik.

      “ Hai Isya, lambat balik.”  Teman biliknya menegur. Arisya tidak menjawab sebaliknya matanya sudah pun tertutup. Maria kalih ke arahnya, melihat sahaja Arisya tertidur dia tersenyum. Patutlah tak jawab, tidur rupanya.

       Arisya terjaga apabila handphone miliknya berbunyi. Dengan malasnya, dia cuba mencapai untuk mengambil telefon bimbitnya itu. Melihatkan nama yang tentera di skrin, dia menekan butang hijau.

       “ Isya…” Sapa orang di dalam talian. Arisya bangun dari baring dan duduk bersandar di katil.

       “ Assalamualaikum Aila…” Tegurnya. Suhaila gelak kecil. Mungkin malu kerana dia tidak beri salam.

       “ Wa’alaikumussalam. Isya, sibuk ke?”

       “ Taklah. Isya baru je balik dari jumpa lecture tadi. Kenapa?” Arisya bertanya. Sambil itu matanya terarah pada Maria yang baru sahaja menunaikan solat. Arisya cepat-cepat melihat jam tangannya. Ya Allah, dah maghrib dah! Macam mana aku boleh tak sedar ni?..

         “ Urm, Isya. Aila nak minta tolong ni. Boleh tak?” Teragak-agak gadis itu mahu bertanya. Dia risau pula kalau adik tirinya tidak mahu membantunya kali ini.

         “ Kenapa Aila?”

         “ Isya ada duit tak? Aila nak pinjam 200 ringgit boleh?” Terus terang dia berkata. Sambil itu dia berharap di dalam hatinya supaya Arisya boleh meminjamkan duitnya. Lama Arisya diam. Sebenarnya dia terfikirkan tentang duit tersebut. Baru je minggu lepas Suhaila meminjam seratus setengah darinya. Takkan dah habis dah? Mana pula perginya semua pinjaman duit dia tu?

          “ Isya, dengar tak ni? Hello..” Tersentak Arisya ketika itu. Dia menjawab semula panggilan kakak tirinya itu. Maria yang sedang menyikat rambut memandang temannya. Apa kena dengan Arisya ni?

          “ Bila Aila nak duit tu?” Tanya Arisya.

          “ Boleh tak Isya masukkan dalam akaun Aila malam ni? Esok pagi Aila nak pakai dah duit tu. Esok Aila nak keluar pergi cari kain untuk projek Aila nanti.” Jelasnya. Suhaila memegang telefon bimbitnya dengan penuh mengharap.

          “ Hmm, okay.  Malam nanti Isya bank in kan. Aila, Isya nak off ni. Dah maghrib.” Sebaik sahaja talian dimatikan, Isya bangun dari katilnya dan mencapai sikat rambut yang terletak elok di dalam almarinya.

          “ Aila call?” Tanya Maria. Bukan dia tak tahu dengan siapa yang gadis itu berbual tadi. Bila dengar perkataan duit atau bank in, pasti tak lain tak bukan, kakak tiri gadis tersebut. Isya mengangguk perlahan.

           “ Kenapa tak gerak aku bangun tadi?”

           “ Hmm, bukan aku tak cuba gerak kau. Banyak kali dah. Tapi kau tu yang tak sedar. Tidur syok sangat. Penat sangatlah tu. Dahlah tu, pergi mandi cepat. Nanti habis waktu pula.” Arah Maria. Arisya tersengih. Malu dia ditegur sebegitu.

    Memang dia akui, minggu ni memang amat penat baginya. Dengan melaksanakan projek sem akhir lagi, dengan pembentangan untuk subjek kelas Profesor Siirun lagi. Semuanya dia harus siapkan secepat yang boleh. Dia mengeluarkan buku simpanan kewangannya. Kebelakangan ini cepat sahaja duitnya habis. Kalau hanya berharap pada biasiswa memang takkan cukup. Suhaila pula kebelakangan ni banyak sangat meminta pinjaman darinya. Bila ditanya untuk apa, gadis itu akan membalas untuk kerja tugasan atau projeknya. Kadang-kadang Arisya merasa curiga dengan gerak-geri Suhaila, namun dia cuba jauhkan perasaan itu. Dia tak mahu fikirkan apa-apa yang buruk tentang satu-satunya kakaknya itu. Nasib baiklah kalau ada masa, dia akan melakukan pekerjaan separuh masa di kafe milik kakak ipar Maria. Sekurang-kurangnya, dapatlah menambah sedikit pendapatan untuk dirinya.





            **********************************************************





        Suhaila memandang bingkai gambar yang berada di atas meja kecil tepi katilnya. Terpampang gambarnya dan juga Arisya yang ceria di dalam bingkai tersebut. Semasa gambar itu diambil hampir tiga tahun lepas, semasa itu dia dan Arisya menangkap gambar untuk dibuat kenangan apabila masing-masing melanjutkan pelajaran di menara gading.

        Kebelakangan ini, banyak duitnya dihabiskan untuk berseronok bersama teman lelakinya, Farid. Sedar tak sedar, duitnya semakin berkurangan. Hanya dengan adik tirinya sahaja dia mampu berharap. Dia tahu Isya pasti tidak akan lokek membantunya. Kalau dia telefon rumah minta duit dengan ibu atau ayah pasti dia akan kena bebel lagi.

         “ Aila, kau buat apa?” Tegur Ira yang lalu di depan biliknya.

          “ Takde apa. Kenapa?”

          “ Tu ha, boyfriend kau kat depan rumah. Dia tunggu kau dari tadi. Dah siap belum?” Ira memberitahu. Hampir setiap malam teman serumahnya itu akan keluar bersama-sama dengan lelaki tersebut. Sampaikan kadang-kadang banyak tugasan gadis itu ada yang tidak siap akibat asyik berseronok di luar.

          “ Cakap kat dia tunggu aku lima minit je lagi.” Pesannya. Ira melepaskan keluhan. Dia masih lagi tak berganjak dari situ.

          “ Aku nak cakap sikit boleh?” Tiba-tiba Ira bersuara. Suhaila yang ketika itu sedang mekap terhenti. Dia menunggu Ira menyambung ayatnya.

          “ Kurangkanlah masa kau keluar dengan Farid tu. Patut time ni lah kau fokus dalam study. Kita ni dah sem last tau. Takkan kau tak sayang. Ke kau nak sangat repeat paper nanti? Tak takut?” Luahnya. Suhaila mula rasa tercabar. Ira selalunya akan bercakap begitu. Tak fikir sensitif orang. Main lepas je cakap.

          “ Yela, aku tahu. Kau tak payah nak risaukan aku sangat! Nanti aku cakaplah dengan Farid supaya jarang jumpa malam-malam nanti. Dahlah, aku nak keluar ni. Kunci rumah aku bawa. Mungkin aku balik lewat sikit.” Balasnya dingin. Semasa keluar dari bilik, sengaja dia berlaga bahu dengan Ira. Bila kelibatnya hilang dari rumah, Ira mengeluh kasar. Banyak betul perubahan dia rasakan pada Suhaila sejak kebelakangan ni. Makin lama, Suhaila sudah mula menunjukkan kurang minat dalam belajar lagi. Mungkin juga pengaruh dari jantan tu, siapa lagi kalau bukan Farid. Hmm…



          *******************************************************************


  
        
          “ Arghh, penatnya!” Luah Maria dengan selamba. Dia memusingkan badannya ke kiri dan kanan. Kemudian diurutnya bahunya pula. Dia melihat gadis yang sedang tekun menyusun kek ke dalam bekas kaca tersebut.

          “ Isya, dah habis ke?” Tanyanya. Arisya mengangguk kecil. Apron di tubuhnya dibuka dan digantung di tempat sepatutnya. Ketika itu keluar seorang wanita yang berusia awal 30-an dari bilik hujung kafe tersebut.

          “ Dah susun dalam kereta belum?” Tanya kakak ipar Maria, Zalika.

          “ Dah.” Ringkas adik iparnya membalas.

          “ Nah, ni alamat dia. Hantar elok-elok tau. Make sure kek tu tak hancur bila dah sampai nanti.” Pesan Kak Zalika. Maria buat aksi ala-ala tentera menurut arahan dari tuan empunya kafe tersebut. Tergelak Arisya bila melihat Maria yang suka bergurau itu. Tak padan dengan muka yang selalu serius, tapi sebenarnya orangnya suka bergurau senda.

    Hari hujung minggu ni, dia dan Maria kena buat dua penghantaran sekitar kawasan Damansara. Satu untuk majlis hari jadi, dan satu lagi untuk majlis hujung tahun di sebuah syarikat kecil di situ.

         “ Hmm, cepat je kan masa berlalu.” Tiba-tiba terluah perkataan itu dari bibir Maria. Arisya sempat menjeling kawan sebelahnya. Kemudian dia menumpukan panduannya ke arah jalan raya.

         “ Kau ni kenapa Maria? Tetiba je lemah semacam.” Tanyanya prihatin.

         “ Aku takde apa-apalah. Aku sedih, sebab tak lama lagi kita akan habis belajar. Dah tu, mesti kau balik kampung kau balik. Lagilah bertambah susah aku nak jumpa kau nanti.” Katanya. Arisya tersenyum. Ingatkan apalah tadi.

         “ Alah kau ni. Nanti kan aku boleh cari kerja area kL ni ha. Apalah yang kau nak sedih sangat pun. Ada rezeki, adalah kita jumpa lagi. Kau tak payah fikirkan sangatlah sayang. Sekarang ni baik kau fikir, laluan mana yang aku patut aku masuk ni. Jalan ni dah lah banyak cabangnya. Pening aku.” Kata Arisya. Maria tersengih. Dia melihat semula ke kertas alamat yang tentera. Kemudian dia menyuruh Arisya masuk ke simpang kanan.
       Kereta milik Maria diparkir di luar rumah banglo tersebut. Maria keluar dan menekan loceng rumah itu. Tidak lama kemudian, keluar seorang wanita dan membuka pagar. Arisya yang berada di dalam kereta mula keluar apabila Maria melambai ke arahnya. Dia mengambil satu kotak yang saiznya agak besar sedikit dan membawanya masuk ke dalam rumah. Manakala Maria mengambil dua kotak yang saiznya sederhana kecil.

          “ Letak kat atas meja tu je dik.” Kata tuan rumah tersebut. Maria dan Arisya menurut sahaja arahan dari wanita itu. Setelah siap urusan pembayaran semuanya, mereka berdua meminta izin untuk segera beredar.

          “ Nak balik dah?” Tanya wanita itu.

          “ Kitorang kena pergi sekarang puan, sebab ada lagi nak kena hantar petang ni.” Balas Maria. Ketika itu dari tingkat atas, turun seorang pemuda dan berjalan ke arah mereka.

          “ Kak Long, Adam nak keluar kejap.” Katanya. Maria dan Arisya pandang sahaja lagak lelaki tersebut. Dari pandangan mereka, lelaki ini tinggi lampai orangnya. Kurus tu tak sangatlah, adalah juga nampak tough dia. Rupa pun boleh tahan. Nampaklah muka melayu sejati. Cuma tang riak muka tu, nampak serius je lelaki ni. Senyum pun tak bila pandang Arisya dan Maria.

          “ Nak pergi mana? Jangan lewat sangat. Malam karang majlis untuk boboy dah mula.” Pesan kakaknya.

          “ Ala, sekejap je kak. Nanti Adam baliklah sebelum pukul enam. Lagi pun nak pergi ambil kereta kat bengkel petang karang.” Katanya dan terus berlalu keluar. Orang yang dipanggil kak long itu menggelengkan kepala.

          “ Sorry ye korang. Adik akak tu sombong sikit orangnya. Tapi dia nampak je macam tu, sebenarnya baik budak tu.” Ulas wanita itu.

          “ Eh takpe Puan Yati, kitorang tak kisah pun. Lagi pun kitorang datang sini pun untuk hantar tempahan puan je.” Balas Maria.

           “ Ish tak payahlah nak berpuan puan. Panggil kak yati sudah. Lagi pun akak selalu buat tempahan dengan si Zalika tu. Ha, ni jap lagi drive elok-elok ye. Kirim salam kat tuan kedai.” Kata Puan Yati. Maria dan Arisya bersalaman dengan wanita itu. Arisya terfikir betapa ramah dan baiknya wanita melayan mereka berdua. Walaupun bila tengok dari segi rumah yang besar dan mewah itu, tuan rumah lansung tak sombong. Bagusnya…

           “ Pergh, sombong betul laki tu tadi. Aku rasa macam nak sepak je!” Tiba-tiba Maria bersuara tak puas hati. Kali ni Maria pula yang memandu dan Arisya duduk di sebelah.

           “ Siapa? Adik puan yati tu tadi ke? Tanya Arisya.
   
           “ Yela lah. Perasan baguslah tu!”

           “ Ala kau ni, biar jelah. Takde kena mengena dengan kita pun dia tu.” Balas Arisya sambil tergelak kecil.

           “ Takdelah wei, kot ye pun tak nak tegur tu aku tak kisah. Tapi senyumlah sikit. Ni muka serius gila. Aku memang menyampah tengok orang macam tu.” Omelnya lagi.

           “ Kau ni Maria, tak baiklah. Kita tak kenal lagi dia macam mana dah kau tuduh macam-macam. Jangan menyampah sangat Maria, dibuatnya adik Puan Yati tu jadi laki kau nanti, naya kau.” Gurau Arisya. Maria mencebik, kemudian dia pun turut gelak bersama gurauan Arisya.

           “ Haha, kalau dia jadi laki aku pun okay juga wei, muka hensem!” Terburai ketawa kedua-duanya.

           “ Tak pun kalau bukan jadi laki aku, entah-entah jadi laki kau tak Isya!” Maria pula mengenakan Arisya. Gadis disebelahnya malas membalas, sebaliknya hanya ketawa sahaja. Apa-apa jelah Maria, jangan masin sudah mulut kau tu….




                ************************************************************





   Pak Samad meletakkan parangnya di atas tangga. Kemudian dia membasuh kakinya di paip yang terletak di bawah rumah sebelum naik ke atas. Dia melaung nama isterinya berulang kali, namun lansung tak berjawab. Lelaki tua itu melepaskan keluhan. Nampak sangat isterinya takde kat rumah. Tak lain tak bukan, ke rumah kawan dia lah tu untuk bersembang.

   Baru je Pak Samad nak ke dapur untuk membasahkan tekaknya, telefon rumah berbunyi. Dia berjalan ke ruang tamu dan segera mengangkat telefon rumahnya. Baru je dia nak bagi salam, dia terbatuk kuat. Demi je mendengar suara yang batuk itu, orang yang di dalam talian memulakan bicara.

     “ Assalamualaikum ayah.” Sapa Arisya di talian. Tersenyum terus Pak Samad sebaik mendengar suara anak yang dirinduinya itu. Sudah hampir dua bulan anaknya tak balik ke rumah.

      “ Wa’alaikumussalam nak. Arisya sihat?” Tanya ayahnya.

      “ Sihat Alhamdulillah. Ayah sihat ke? Tadi Isya dengar ayah batuk-batuk tu.”

      “ Ayah sihat. Tak usah risau. Tadi tu cuma batuk je.” Balas ayahnya. Arisya yang baru sahaja habis membuat penghantaran tempahan melepaskan lega. Risau juga kalau ayah dia tak sihat masa ni.

      “ Ayah, Arisya nak minta maaf sebab tak dapat balik. Dah dua bulan Arisya tak balik. Arisya sibuk buat projek sem akhir ni. Maafkan Arisya ye ayah sebab dah lama tak jenguk ayah dan ibu.”

      “ Tak mengapa nak. Ayah faham. Fokus belajar tu. Lagi pun tak lama kan Arisya dengan Suhaila nak habis belajar dah.”

        “ Hmm, ayah, nanti lagi dua bulan je Isya habis belajar. Tapi Isya rindu betul dengan ayah. Ayah kena jaga diri baik-baik tau. Kalau tak sihat cepat-cepat pergi klinik.”

         “ Yela sayang. Ayah ingat tu. Tak payah nak risau sangat pasal ayah ni. Hmm, Suhaila macam mana? Dah lama dia tak telefon rumah ni. Balik pun tak. Dah nak tiga bulan lebih dia tak balik. Sampaikan ibu pun asyik sebut je nama dia. Ada dia telefon Isya?”

        Arisya mengetap bibir. Kalau Suhaila telefon pun mesti pasal duit. Dia pun dah jarang jumpa kakak tirinya itu. Walaupun masing-masing duduk tidak jauh, tapi bila Arisya mahu berjumpa dengan Suhaila, ada je alasan yang diberi.

          “ Hmm, ada ayah. Dia okay je. Sihat. Nanti Isya telefon Aila untuk suruh dia call ibu. Ayah, Arisya letak dulu ya. Ada kerja sikit nak buat. Ayah jaga diri baik-baik tau. Nanti kirim salam ibu. Assalamualaikum.” Ucapnya. Talian dimatikan sebaik sahaja Pak Samad menjawab salam anaknya. Kebetulan masa itu Mak Idah balik dan naik ke rumah. Melihat sahaja suaminya yang baru habis berbual di telefon, dia menghampiri suaminya.

           “ Siapa telefon abang? Suhaila ye?” Tanya wanita separuh usia itu.

           “ Arisya.” Ringkas suaminya balas. Mak Idah muram. Disangkanya anaknya yang telefon. Kenapalah lama sangat Suhaila tak jenguk atau pun telefon dia. Sibuk sangat ke? Kalau sibuk sekali pun bagitahulah. Tak macam Arisya, walaupun sibuk dengan kuliah dan kerja part time, anak muda itu tetap luangkan masa untuk balik ke kampung. Kalau tak balik sekali pun, rajin Arisya telefon setiap minggu bertanyakan khabar dirinya dan suaminya.

           “ Awak dari mana ni? Masak apa hari ni? Saya laparlah.” Tanya Pak Samad. Mak Idah duduk di kerusi dan membuka selendangnya melepaskan penat yang tak sudah.

           “ Saya pergi hantar kain baju yang Mak Teh tempah hari tu. Tadi pergi tumpang kereta anak Tok che tu. Balik dia hantar saya kat kedai runcit sana tu. Terpaksalah saya balik jalan kaki. Penat pun tak habis lagi ni bang. Saya masak ringkas je bang. Goreng ikan talapia je dengan buat sambal kelapa. Ulam pun ada lagi.” Balasnya. Pak Samad mengambil tempat disebelah isterinya. Remote televisyen diambil dan ditekan punatnya.

        “ Abang, tadi saya singgah rumah tok penghulu kejap. Saya sembang-sembang dengan bini dia tu, si Ijah tu. Dia ada hajat dengan kita bang.” Isterinya mulakan bicara. Pak Samad mula tak sedap hati bila mendengarkan perkataan hajat itu. Dia tak berapa selesa dengan keluarga penghulu kampung tu. Demi melihat suaminya yang masih berdiam diri, dia menyambung kata-katanya.

        “ Kalau boleh abang, dia nak merisik Arisya untuk anak bongsu dia tu. Si Kamil tu.” Berkerut dahi Pak Samad dibuatnya.

        “ Habis tu awak cakap apa?” Tanya Pak Samad.

        “ Saya cakap apa salahnya. Saya suruh dia datang hantar utusan merisik nanti bila Arisya dah balik.” Selamba Mak Idah berbicara begitu. Pak Samad mula rasa tercabar.

        “ Saya tak suka. Saya tak nak anak dia disatukan dengan Arisya tu. Awak jangan memandai nak buat keputusan. Saya ni bapa Arisya. Saya ada hak sama ada nak kahwinkan anak saya tu dengan siapa.” Pak Samad memberikan pendapat. Bukan dia tak tahu perangai budak Kamil tu macam mana. Kaki perempuan. Pantang tengok anak dara dahi licin sikit. Semua mahu dikacaunya.

        “ Alah abang ni. Apa salah budak tu pun. Kita cuba-cubalah kenankan dia dengan Arisya dulu. Lagi pun dah lama Kamil tu berkenan dengan Arisya dari sekolah menengah lagi.” Bidasnya bersungguh-sungguh. Bukan apa, bagi Mak Idah, Kamil tu kaya orangnya. Maju dalam perniagaan sendiri. Kalau dia dapat menantu macam tu, dia pun boleh tumpang sekaki.

        “ Kalau saya kata tak suka, maknanya saya memang betul-betul tak suka! Saya kenal sangat dengan perangai budak tu. Saya tak nak anak saya tu dapat laki macam tu. Keputusan saya muktamad. Awak bagitahu je si Ijah tu, tak payah susah-susah hantar rombongan merisik. Lagi pun saya tahu, Arisya pun akan tolak. Lagi pun lepas Arisya habis belajar, budak tu mesti sibuk nak cari kerja. Dia pun takde masa nak fikir kahwin-kahwin ni.” Bersungguh-sungguh suaminya menentang. Mak Idah terkedu. Serius benar wajah suaminya ketika itu. Jarang dia melihat suaminya marah macam tu sekali.  Sebaik sahaja Pak Samad sudah menarik nafas untuk menenangkan diri, dia menyambung bicara.

        “ Saya tahu apa yang terbaik untuk Arisya dan Suhaila. Masing-masing nak kejar impian mereka dulu. Kita patut bagi peluang pada anak-anak kita tu untuk menentukan apa yang baik buat mereka. Awak tak payah kisahlah pasal permintaan Ijah tu. Dahlah, saya nak mandi dulu, lepas makan nanti saya nak ke surau.” Dia bercakap dengan lembut dan berlalu pergi ke bilik. Mak Idah dibiarkan keseorangan di situ. Dia mengetap bibirnya tanda geram kerana suaminya meninggikan suara pada dia tadi. Hanya sebab Arisya, suaminya hampir marah padanya. Hmmph!

  1. cepatnyer. dah tiga tahun berlalu tp mak idah still yak suka isya ea? aila plak dah jadi teruk. ish-II. kesian lak kat isya. mak idah ngan aila mcm anggap isya patung je. nasib baik la pak samad ada nak back up isya. tak sabar la nk tunggu sambungan. mmg best ^_^

  1. hehe..thanz sudi bace miss qiz. tula, mak idah mmg x sng dgn ank tiri die 2...p0 leh buek..hehe..keep reading k..esok akn dipost ep3. =)