NILAI KASIHMU (3)


.


  
Episod 3








  Buku-buku itu dicampak kasar ke atas katil. Kemudian dia duduk di atas katil dan memeluk bantalnya. Dia melepaskan jeritannya di sebalik bantal tersebut. Tak lama kemudian, tangisan mengalir di pipinya.

      “ Tak guna punya jantan! Habis duit aku kau cekau rupa-rupanya untuk betina lain! Tak guna!! Menyesal aku kenal kau!!” Suhaila melepaskan amarahnya. Bingkai gambar yang ada gambarnya bersama Farid dibuka. Gambar tersebut dikoyakkan sepuas hati kemudian ditaburkan di atas lantai. Habis bilik bersepah dibuatnya. Ira yang berada di luar tamu yang mendengar jeritannya hanya menggelengkan kepala. Dah kena tipu baru tahu padahnya. Baru kau tahu perangai lelaki tu macam mana.

       “ Aku benci dia! Aku benci dia!” Jeritnya lagi bagaikan orang yang sudah dirasuk.

    Percintaan selama hampir setahun itu dirasakan sia-sia. Pagi tadi semasa dia dan rakannya seronok membeli-belah di mall, dia ternampak kelibat seseorang yang memang dia kenal. Bila dilihat dari dekat, Farid seronok berpelukan bersama gadis lain. Bukan setakat tu saja, bila perempuan itu minta sesuatu pasti Farid yang akan keluarkan duit dan belanja. Padahal, baru semalam Farid minta dia sedikit, kononnya gaji tak masuk lagi. Apa lagi, melihatkan situasi itu bertambah mengamuk Suhaila jadinya. Dia pergi ke arah lelaki tersebut dan menampar pipi Farid sekuat hati. Berang, malu semuanya ada masa tu. Sumpah, dia tidak akan lagi berhubung lagi dengan lelaki itu.

      Dia mengeluarkan sebuah kotak. Dalamnya berisi hadiah dan kenangan bersama lelaki tersebut. Dia mahu bakar semuanya. Segera dia keluar dari bilik sambil membawa kotaknya dan mencari mancis di dapur. Ira yang melihat reaksi teman serumahnya mula tak sedap hati.
                                                                                                                 
       “ Wei, kau nak buat apa ni?” Tanya teman serumahnya dengan nada yang risau.

         “ Aku nak bakar semua barang jantan tu!” Balasnya dengan penuh dendam.

         “ Kau ni, cuba beristighfar sikit. Kalau kau bakar sekali pun, takde apa yang ubah pun. Benda dah jadi, kita nak buat macam mana lagi.” Kata Ira. Bertambah bengang Suhaila rasa bila mendengar kata teman serumahnya itu. Dia berlalu keluar rumah. Tatkala itu telefon bimbitnya berbunyi. Mula-mula dia malas mahu menjawabnya, tapi bila melihat nama Arisya di skrin terus dia menekan butang hijau.

         “ Assalamualaikum Aila. Sibuk ke?” Sapa Arisya.

         “ Wa’alaikumussalam…hmm, tak sibuk pun. Kenapa ni?!” Balasnya malas.

         “ Aila kenapa? Macam takde mood je suara tu. Aila ada problem ke?” Tanya Arisya prihatin. Dari hatinya tak tenang tadi, bila mendengarkan pertanyaan yang lembut dari mulut Arisya, terus dia terasa damai sedikit. Kemudian, entah kenapa Suhaila mula teresak-esak. Arisya mula mengerutkan dahinya.

         “ Hello, Aila…kenapa ni? Kenapa nangis ni? Cuba cerita kat Isya. Aila janganlah macam ni…hello..” Arisya bertanya lagi. Bertambah risau dia rasa ketika ini. Suhaila masih lagi menangis tak sudah. Dia duduk di atas bangku di luar rumah. Kotak yang dipegang tadi jatuh ke tanah. Ira yang melihat dari pintu hanya memandang dengan simpati. Baginya, biarlah hal ni berlaku. Biar budak Suhaila ni belajar dari kesilapan. Bila dia sudah puas menangis dia menarik nafas sepuasnya dan mula bercakap.

         “ Isya, Aila nak jumpa Isya boleh?” Pintanya. Isya memikirkan permintaan Aila. Dia menoleh pada kertas tugasannya. Hampir 90 peratus dah siap. Takpelah, balik dari jumpa Suhaila nanti boleh siapkan semuanya.

          “ Hmm, okay. Sekarang ke?”

          “ Ha’a. Boleh ke Isya? Kita jumpa kat restoran yang selalu kita pergi tu.” Kata Suhaila.

         “ Okay. Lagi setengah jam Isya sampai sana. Jangan nangis lagi tau. Tarik nafas dan beristighfar. Lepas tu pergi siap okay. Kita jumpa kat sana.” Sebelum menamatkan talian, sempat Arisya memberikan kata semangat. Dia bercadang mahu telefon Suhaila untuk mengingatkan gadis itu supaya rajinkan diri untuk menelefon ibu di kampung. Tapi bila dah telefon, hanyalah tangisan dia dengar.

    Dia menoleh memandang teman sebiliknya. Maria sedang tekun menyiapkan lukisan pelannya. Maria yang perasan dirinya ditenung oleh Arisya mengangkat muka dan membalas pandangan gadis tersebut.

          “ Ye cik adik manis. Kenapa pandang saya sampai macam tu sekali? Dah terpikat kat saya ke?” Tanyanya sambil bergurau. Arisya tergelak kecil.

          “ Aku nak pinjam kereta boleh? Aku nak jumpa Aila ni. Ada hal.” Pintanya. Maria mengangguk tanda memberi izin untuk menggunakan keretanya. Dilihatnya Arisya sedang bersiap-siap memakai tudung dan mengenakan cardigan labuh.

          “ Tapi, kenapa kau nak jumpa dia waktu camni? Dah pukul sembilan malam dah ni. Nak aku teman?” Tanya Maria.

          “ Entahlah wei. Itu sebab aku nak jumpa dia ni. Hmm, tak payahlah teman. Kau kan tak siap lagi tugasan tu. Aku pergi tak lama ni.” Balasnya. Kesian pula kalau nak ajak Maria temankan, dia dah lah banyak kerja.

                 
                *********************************************************



   Kereta kenari berwarna hitam metallic itu diparkir di kawasan berhampiran restoran. Suhaila kenal kereta tersebut. Bila dia nampak Arisya keluar dari kereta, dia melambaikan tangan pada gadis itu. Bila dia datang hampir dengan Suhaila, kakak tirinya segera mendapatkan dia dan memeluknya erat. Saat itu mahu sahaja Suhaila menangis lagi, namun dia cuba menahan. Malu pula kalau orang sekeliling tengok. Arisya mengusap lembut belakang badan Suhaila.

         “ Aila kenapa ni? Cuba cerita kat Isya semuanya. Mana tahu Isya boleh tolong.”

         “ Aila dah banyak buat silap Isya. Aila rasa macam orang bodoh je, macam orang tak guna.” Luahnya.  Arisya menggegam sebelah tangan Aila dengan erat. Tidak gemar dia dengar Suhaila cakap begitu.

         “ Ish Aila ni. Tak baik cakap macam tu. Apa pun yang dah berlaku, pasti ada hikmahnya. Apa pun masalah yang tuhan nak timpakan untuk kita, kita kena pasrah dan tabah harunginya. Jangan cepat mengalah. Jangan cepat rasa diri tu tak berguna. Tak baiklah sayang…” Pujuknya lembut. Suhaila tersenyum pahit. Arisya memang pandai menenangkan dia. Patutlah ayah sayang sangat dengan Arisya ni.

         “ Farid, farid tipu Aila. Dia ada perempuan lain.” Suhaila mula berterus terang dengan Arisya. Gadis didepannya melepaskan keluhan. Kemudian dia pandang Suhaila semula.

         “ Mana Aila tahu? Ada bukti?”

         “ Aila nampak sendiri tengahari tadi. Depan mata Aila sendiri.”

         “ Dah tu Aila buat apa?”

         “ Aila benganglah, lepas tu Aila tampar dia depan orang ramai. Peduli apa Aila masa tu. Memang padan muka dengan jantan tak guna tu!” Luahnya lagi. Kali ni amarahnya mula bangkit lagi.

         “ Hmm, Aila. Isya cakap ni Aila jangan marah ye. Anggaplah apa yang Isya katakan ni sebagai nasihat dan pengajaran. Isya tahu Isya tak expert dalam hal bercinta ni. Sebab Isya tak pernah pun tahu macam mana orang bercinta ni dan takde pengalaman dalam hal-hal ni. Tapi, apa yang Isya nak cakap ni, mungkin ada gunanya.” Kata Arisya. Suhaila terdiam. Dia member ruang untuk gadis itu menyambung kata-katanya.

       “ Isya rasa perkara ni berlaku hari ni depan mata Aila ada sebabnya. Satu, tuhan nak tunjukkan kat Aila perangai sebenar Farid. Dua, mungkin kalau Aila masih lagi teruskan hubungan dengan Farid, sampai bila-bila pun Aila asyik kena tipu. Cuba bayangkan, kalau Aila jadi kahwin dengan Farid, lagi parah Aila rasa masa tu sebab suami tipu isteri kan. Dan terakhir, mungkin ada lelaki yang lebih baik untuk Aila suatu hari nanti. Siapa yang tahu kan, someday that day will come.” Bicara Arisya. Suhaila memikirkan kata-kata gadis itu dengan mendalam. Kemudian bibirnya mula mengukirkan senyuman.

        “ You know what, Aila rasa bertuah dapat adik beradik macam Isya ni. Isya je yang faham macam mana Aila rasa.” Balasnya. Kali ni dia bertekad dia tak mahu lagi memikirkan lelaki itu.

         “ Oh, kenapa Isya telefon Aila tadi? Ada hal ke? Sorrylah baru tanya. Sibuk sangat fikirkan hal jantan loser tu.” Katanya. Arisya tersenyum melihat lagak Suhaila yang sudah semakin pulih seperti biasa.

         “ Isya nak ingatkan Aila supaya nanti call ibu kat kampung tu. Dah banyak kali ibu asyik tanya pasal Aila. Dia rindu sangat dengan Aila. Lagi pun dah lama sangat Aila tak balik kampung kan. Dah nak dekat empat bulan dah.” Arisya memberitahu.

         “ Owh…hmm, Aila bukan apa Isya, Aila busy sangat. Nanti Aila telefonlah. Urm, nanti bila Isya balik kampung lagi?”

         “ Habis study nanti Isya baliklah. Tak dapatlah nak balik time ni, dah nak habis sem kan. Bertambah sibuk jadinya. Lagi pun dah nak final dah. Aila bila pula nak balik?”

         “ Aila balik hujung minggu ni kot. Tengoklah keadaan.” Katanya. Kalau nak diikutkan, hujung minggu ni dia dah plan nak pergi berkelah bersama Farid, tapi bila dah macam ni jadinya, balik kampung lagi bagus. Lagi pun dah banyak masa dia rugi sebab lelaki itu.

        “ Owh, macam mana dengan projek Aila, cukup ke modal yang Isya bagi tu?” Mendengarkan pertanyaan dari adik tirinya itu, Suhaila menelan air liurnya.

         “ Urm, okay je. Cukup sangat. Thanks Isya…” Balasnya ringkas. Dia meneguk air minumannya dengan rakus. Kesian Isya, aku asyik habiskan duit dia je untuk Farid tu. Maafkan Aila, Isya….katanya di dalam hati. Tak mampu dia nak jujur pasal perkara tersebut di depan Arisya. Risau gadis itu marah padanya.


          ***********************************************************


     Kereta itu dipandu perlahan sambil matanya melihat ke kiri dan kanan. Sambil itu tak habis-habis dia menggaru kepalanya walaupun tak gatal. Sebenarnya lebih kepada runsing. Mana pula tempat dia ni! Arghh…

        “ Linda, betul ke alamat yang awak bagi ni?” Tanya lelaki itu setelah mendail nombor syarikat.

        “ Betullah Encik Iqram. Kenapa encik? Tak jumpa lagi ke?”

        “ Jenuh saya round kawasan sini. Tak jumpa pun. Hmm, takpelah. Saya try cari lagi.” Katanya. Iqram memberhentikan kereta di tepi jalan dan keluar berdiri di sisi pintu kereta. Sambil itu sempat lagi dia merungut tak puas hati. Kalau tak pasal bos suruh dia handle projek ni, memang takkan dia jejak kat sini. Kebetulan ketika itu ada motosikal yang lalu. Cepat-cepat dia menahan orang yang pandu motor tersebut untuk bertanyakan jalan.

        “ Assalamualaikum pak cik. Maaflah saya tahan pak cik ni. Saya nak tanya jalan ni.”

        “ Wa’alaikumussalam. Nak ke mana anak ni?” Tanya pak cik itu. Iqram menunjukkan kertas alamat pada lelaki tua itu.

           “ Owh, tempat ni kat hujung selekoh sana nak. Masuk simpang kanan, lepas tu nampak rumah kuning kat situ belok kanan lagi. Tempat ni susah sikit nak cari, sebab jalan dia tersorok sikit.”

           “ Yeke pak cik? Patutlah susah saya nak jumpa. Saya bukannya apa pak cik. Saya ni datang dari Kuala Lumpur. Datang sini pun sebab urusan kerja. Maaflah ye kalau saya menganggu pak cik ni.” Iqram berkata dengan sopan.

           “ Eh, tak apalah. Tak ganggu pun. Kalau takde apa-apa pak cik gerak dulu lah ye. Hari macam dah nak hujan ni.” Kata pak cik tersebut, baru je pak cik tu nak gerak balik, Iqram menahan pak cik itu semula.

           “ Pak cik, sorry sorry.. Saya terlupa pula nak tanya. Kat sini ada homestay tak? Sebab saya rasa nak stay sini untuk seminggu macam tu untuk uruskan hal kerja kat sini.” Tanyanya lagi. Pak cik itu mula mengerutkan dahi. Dia melihat jam tangannya kemudian dia memandang pemuda di hadapan.

            “ Kat sini takde homestaylah nak. Kalau hotel murah tu adalah, jauh kat pekan tu.” Terang pak cik itu. Iqram mula menggosok belakang lehernya. Aduh, macammana ni? Melihat sahaja riak risau di wajah pemuda tersebut, lelaki tua itu memanggilnya.

            “ Macam ni lah anak. Pak cik cadangkan ajelah untuk kamu. Pak cik ada satu rumah kosong. Dah hampir lima bulan jugalah orang yang sewa kat situ dah pindah. Kalau kamu tak kisah, duduklah rumah tu.” Jelasnya. Iqram mula senyum tanda lega. Sekurang-kurangnya tak perlulah dia nak berulang-alik jauh sangat.

            “ Betul ke pak cik? Alhamdulillah… Saya tak kisah pak cik. Asalkan ada tempat berteduh pun dah syukur sangat dah.” Balas Iqram ceria.

            “ Tapi rumah papanlah. Tak kisah ke? Rumah tu walaupun papan, semua ada, katil ada, tv ada, semua lengkap. Cuma barang dapurlah takde. Kalau kamu nak masak kena beli barang sendirilah. Tak pun kalau nak makan, ada gerai makanan tak jauh dari rumah tu.” Jelas pak cik itu lagi.

          “ Eh, takpe pak cik. Dah okay sangat dah tu. Kiranya saya sewa dengan pak cik dululah untuk seminggu ni. Terima kasih ye pak cik. Terima kasih banyak-banyak. Nasib baik saya jumpa pak cik.” Ucapnya.

          “ Yela, sama-sama. Kamu bawa dulu kereta kamu pergi rumah tu. Ikut je jalan ni. Lepas tu ada simpang kecil ke kiri tu masuk je. Kamu masuk je simpang tu dah nampak dah rumah papan tu. Pak cik nak balik rumah pak cik dulu, nak pergi ambil kunci rumah tu. Boleh?” Kata pak cik itu lagi. Dia bukan apa, kesian pula tengok pemuda tu.

          “ Boleh pak cik. Terima kasih ye..” Ucapnya lagi. Pak cik itu berlalu pergi. Iqram melepaskan nafas lega. Nasib baik ada yang tolong. Syukur Alhamdulillah. Takpelah Iqram, merasalah kau hidup kampung seminggu ni….


             *************************************************************


     Suhaila memandu keretanya masuk ke simpang rumahnya dengan berhati-hati. Sebaik lalu di kawasan jalan itu, dia terlihat ada kereta Honda yang diparkir di depan rumah kosong tidak jauh dari rumahnya. Bila pula rumah tu ada orang. Setahunya jiran yang menyewa rumah Pak Mat tu dah lama pindah.

       Dengar sahaja bunyi kereta dari atas rumah. Cepat-cepat Mak Idah ke tingkap dan menjenguk ke luar. Kelihatan Suhaila keluar dari kereta Myvi miliknya. Kereta itu pun dulu deposit pakai duit simpanan ibunya. Arisya pun kadang-kadang ada membantu menghulurkan sedikit duit gajinya untuk Suhaila melunaskan duit bulanan kereta tersebut.

          “ Assalamualaikum ibu…” Sapa Suhaila sebaik sahaja melihat ibunya berlari anak turun dari tangga. Dipeluk erat anak yang dirinduinya itu. Suhaila menyambut pelukan ibunya dengan riang.

          “ Balik pun anak kesayangan ibu ni. Kenapa dah lama tak balik? Tak ingat jalan nak pulang dah ke?” Sempat ibunya berseloroh. Suhaila tergelak kecil.

           “ Busylah ibu. Nak buat macam mana. Ayah mana ibu? Tak nampak pula kereta ayah.”

           “ Ayah pergi pekan tadi. Cari benda sikit. Sambil tu dia kata nak cari lauk lebih sikit untuk masak malam ni. Ayah suruh ibu masak kegemaran kamu. Yela, anak ibu dah balik kan.” Balas Mak Idah. Suhaila tersenyum. Sekurang-kurangnya ada juga rasa sayang Pak Samad padanya. Dia ingat Pak Samad lansung tak kisah pasal kepulangannya kali ini.  Sambil membuka bonet kereta, sempat Suhaila menoleh melihat rumah yang tidak jauh dari rumahnya.

           “ Ibu, rumah tu dah ada orang duduk ke?” Tanyanya ingin tahu. Mak Idah melihat rumah tersebut.

           “ Rumah tu ada anak bujang tu duduk. Baru dua hari lepas dia sewa situ. Katanya sewa seminggu macam tu. Hari tu ada juga dia tegur ibu dengan ayah. Dia sembang-sembang kejap. Dia kata dia tengah uruskan projek untuk tapak apa entah. Ibu pun tak tahu sangat.”

            “ Owh, macam tu. Tu yang Aila pelik tu, kereta bukan main mewah lagi. Rupanya dia duduk sekejap je. Orang mana ibu?”

            “ Orang kl katanya. Dah lah tu, jom masuk. Ni je ke semua barang?”

            “ Ni je. Tak lama pun Aila tinggal ni ibu. Lepas dua tiga hari ni kena balik kolej balik. Tak lama lagi ada test.” Terangnya. Ibunya mengangguk tanda faham. Mereka berdua segera masuk ke dalam rumah.



             ************************************************************


        “ Jemputlah masuk Encik Iqram.” Pelawa Pak Samad.

    Dari dapur, Suhaila dah dengar suara ayahnya bercakap dengan seseorang. Ketika itu dia sedang membantu ibunya menghidangkan lauk di atas meja. Kata ayahnya tadi sebelum ke surau mahu menjemput orang rumah sebelah untuk turut makan malam bersama. Baru je dia terfikirkan pasal orang tu, muncul ayahnya bersama seorang pemuda masuk ke ruang dapur. Untuk seketika Suhaila tak berkelip matanya melihat pemuda tersebut.

         ‘ Mak aih, hensem betul laki ni!’ Sempat dia memuji di dalam hati. Bila Pak Samad memanggilnya barulah dia tersedar dari terus merenung lelaki tersebut. Terbatuk Suhaila dibuatnya. Lebih menahan malu sebenarnya.

         “ Duduklah Encik Iqram. Lauk kampung je..” Kata Mak Idah.  Iqram duduk bertentangan dengan Suhaila. Dia memberikan senyuman pada gadis di depannya. Suhaila merasakan pipinya mula naik panas bila melihatkan senyuman lelaki tersebut. Tak pernah-pernah dia rasa macam ni sekali.

         “ Lauk kampung pun sedap mak cik. Saya ni memang lebih suka makan makanan kampung. Duduk bandar tu susah sikit nak dapat lauk macam ni.” Kata Iqram ramah.

         “ Ha, kalau macam tu baguslah Encik Iqram. Makan puas-puas ye. Bukan apa, banyak lauk isteri saya ni masak sempena anak kami yang sorang ni balik sini. Dah lama sangat dia tak balik sini. Tu yang special sikit malam ni.” Jelas Pak Samad. Suhaila senyum memandang ayah tirinya. Dia suka bila Pak Samad menunjukkan rasa ambil berat pada dirinya.

          “ Owh yeke. Pak cik tak payahlah berencik encik dengan saya. Tak selesa pula saya rasa. Saya ni orang biasa je pak cik. Panggil saya Iqram cukuplah.” Jelas Iqram merendah diri. Pak Samad dan Mak Idah tersenyum. Bagus budak ni…

     Mereka berempat makan dengan seleranya. Sambil tu Pak Samad tak habis-habis bercerita pasal hal yang berlaku di kampung tersebut. Mak Idah pun kadang-kadang selit bercakap pasal benda yang lebih kurang sama. Iqram mendengar dengan penuh minat. Iqram juga berbicara tentang projek yang bakal dibangunkan di kampung itu nanti. Katanya lagi, mungkin bulan berikutnya dia akan lebih kerap ke kampung itu untuk menyiapkan projeknya. Suhaila yang dengar kata-kata lelaki tersebut mula berbunga riang di dalam hatinya. Maknanya lepas ni adalah peluang nak jumpa lelaki ni lagi.

       Selesai habis menjamu selera Pak Samad mengajak Iqram duduk di ruang tamu. Sambil itu dia memesan pada Mak Idah supaya menghidangkan kopi sementara Suhaila membasuh pinggan dan mengemas meja. Iqram menurut Pak Samad ke ruang tamu. Bila Pak Samad duduk, Iqram masih lagi berdiri. Dia melihat gambar-gambar yang tergantung di dinding rumah.

          “ Eh, ini siapa pak cik?” tanya Iqram berminat ingin tahu siapa insan di dalam gambar tersebut. Pak Samad bangun dan melihat gambar tersebut. Ada dua orang gadis yang berbaju sekolah menengah. Seorang pakai tudung, dan seorang lagi tidak.

          “ Itukan anak pak cik tadi, si Suhaila tu yang kat dapur tu.” Terang Pak Samad.

          “ Yang ini saya tahu pak cik. Saya boleh cam lagi muka Suhaila ni. Maksud saya yang pakai tudung ni.”

          “ Owh, itu anak pak cik lagi sorang. Arisya namanya. Dia tak dapat balik. Sibuk nak final exam. Dia dengan Arisya tu sebaya.” Jelas lelaki tua itu. Iqram mengerutkan dahinya. Sebaya? Kembar tak seiras ke diorang ni? Tapi Suhaila tu tinggi lampai. Yang lagi sorang ni rendah sedikit, comel je dia tengok.

           “ Kembar tak seiras ke pak cik?” Tanyanya pelik. Pak Samad tergelak.

           “ Taklah. Arisya ni anak pak cik. Suhaila tu anak Mak Idah tu. Bila kami dah kahwin, diorang jadilah adik beradik.”

            “ Owh…” Patutlah pun. Muka pun jauh beza. 



                    ********************************************************




    Air minuman itu dihirupnya sampai habis. Penat menunggu seseorang dari tadi tak muncul-muncul. Sampaikan segelas jus tembikai sudah dihabiskan. Adam melihat jam tangannya, kemudian mengeluh lagi untuk kali yang ke berapa pun dia tak pasti. Pada masa itu dari jauh terdengar seseorang memanggilnya. Dia menoleh ke belakang, kelihatan sahabat karibnya, Syafiq.

       “ Ingat dah tak jumpa jalan dah…” Sempat Adam perli temannya itu dengan nada bergurau. Syafiq tergelak kecil sambil meminta maaf atas kelewatannya.

       “ So, apa kes hal yang kau kena handle tu? Boleh menang tak?” Adam bertanya ingin tahu. Dia sebenarnya berminat dengan kes pembunuhan yang Syafiq handle ni. Sambil tu sempat dia panggil pelayan di situ untuk membuat pesanan minuman lagi.

       “ Boleh rasanya. Lagi pun hal ni aku dah bincang dengan anak guaman aku. Lagi pun polis pun banyak bagi kerjasama. Harap aku bolehlah menang kes tu.  Kau macam tak kenal aku, akulah lawyer yang paling bertauliah kat Malaysia ni tau.” Balas Syafiq berpura-pura berlagak sikit. Adam dah mula buat muka toya layan cakap kawannya itu.

       “ Iyelah tu, loyar buruk lagi adalah. Hampeh!” Perlinya lagi. Kali ni kedua-duanya ketawa lagi.

       “ Kau bila nak start kerja ni? Dah lama balik Malaysia, sebulan kau asyik terperap kat rumah kakak kau tu, tak bosan ke?” Tanya Syafiq. Iqram hanya menjungkitkan bahunya. Sebenarnya dia tak puas lagi berehat. Penat habiskan master kat luar negara membuatkan dia jadi malas bila balik ke negara asalnya. Kalau boleh dia nak start kerja lagi dua bulan. Tapi duduk rumah pun asyik kena bebel dengan Kak Long perit juga.

        “ Bukan kau dapat offer kerja dengan syarikat pak cik kau ke?” Tanya Syafiq lagi.

        “ Hmm, memanglah. Tapi aku tak ready lagi. Ikutkan malas aku nak kerja sana. Tapi umi aku beriya-iya suruh aku bantu pak cik aku tu. Yela, anak dia dua orang tu doktor, mana nak warisi perniagaan dia tu. Kalaulah arwah abah aku ada lagi, agaknya sekarang ni mungkin aku kerja kat syarikat abah aku je. Tapi apa boleh buat kan, bisnes pun dah lingkup, company pun kena jual.” Luahnya. Sebak pun ada bila fikirkan hal tiga tahun lepas. Masa tu syarikat milik keluarganya hadapi krisis yang besar, dan abah pula diserang strok mengejut. Tak lama kemudian, ajal menjemput abahya ke alam kematian. Syafiq menepuk bahu kanan Adam dengan perlahan.

       “ Dahlah tu, hal tu dah lama. Jangan fikir sangat. Benda dah pun jadi. Semua atas ketentuan ilahi. Dugaan untuk kau sekeluarga. Tapi mujur umi kau kuat dan tabah kan.” Katanya. Adam tersenyum. Betul tu. Uminya memang seorang yang kuat. Sedangkan dia pun susah nak terima hakikat yang keluarganya hampir muflis dulu.

    Mujur abang iparnya ada membantu mereka anak beranak yang tinggal. Rumah umi yang duduk sekarang ni pun, atas ehsan abang iparnya. Dia kadang-kadang duduk dengan uminya, tapi buat masa ni, kak longnya meminta dia tinggal di rumah banglo milik abang iparnya itu dahulu. Maklumlah baru berpindah ke rumah baru. Nak tak nak, dia kena bantu kakaknya mengemas rumah. Kadang-kadang dia merungut juga. Beli rumah besar-besar, tapi yang duduk berapa kerat je. Kalau termasuk pembantu rumah dan pemandu dan dia, baru enam orang kat dalam rumah tu. Anak buahnya yang dipanggil boboy itulah satu-satunya anak kak long dan abang iparnya.

       Dia berbual lagi dengan Syafiq. Banyak hal yang dibual pun berkenaan kes yang Syafiq kena urus buat masa ni. Boleh dikatakan Syafiq ni antara peguam muda yang berbakat. Adam sebenarnya bangga dengan pencapaian teman karibnya itu. Dulu masa zaman sekolah dulu, bukan dia tak kenal Syafiq ni. Kaki game, kaki buli semuanya bagilah kat dia. Namun sejak adik lelaki Syafiq meninggal dunia akibat kes pembunuhan. Malah keadilan untuk adiknya juga tidak dapat ditegakkan. Pembunuh tersebut bebas berkeliaran di luar sana, sedangkan adiknya bertarung nyawa sehingga menemui ajal. Syafiq mula berubah perwatakannya. Dia dah tak buli budak-budak lain lagi. Dari malas, dia mula berubah rajin belajar. Pernah Adam bertanya pada temannya itu apa cita-citanya. Jawab Syafiq dia mahu menjadi seorang peguam untuk membela insan lain yang kurang bernasib baik. Dia lebih cenderung ke arah kes siasatan jenayah berat. Akhirnya, sekarang Syafiq sudah pun membuktikan dirinya mampu menjadi peguam yang diimpikan.

         Hampir sejam lebih mereka berbual. Syafiq terpaksa meminta diri untuk balik ke firma guamannya bila dia menerima panggilan dari ketuanya tadi. Setelah membuat pembayaran, mereka berdua berjalan seiring keluar dari restoran tersebut. Entah di mana silapnya, seorang gadis telah melanggar Adam dari tepi. Hampir sahaja Adam nak terjatuh di tepi longkang jalan tersebut. Sipi je lagi, mujur Syafiq segera menyambut lengan sahabatnya itu. Adam memusingkan badannya dan memandang tajam ke arah gadis bertudung itu.

        “ Wei, kau buta ke? Main langgar-langgar pula!” Marahnya. Dua gadis di depannya mula naik cuak.

        “ Maaf encik. Saya tak sengaja. Tadi saya tengah cari barang dalam beg, saya tak perasan encik lalu sini. Maaf encik..Maaf sangat-sangat.” Kata perempuan itu sambil menunduk.

         “ Tahu nak cari barang dalam beg tu duduklah kat mana-mana. Ni tak, mencari sambil berjalan. Mana nak nampak depan. Ni nasib baik aku tak jatuh! Kalau aku jatuh macam mana?! Huh!” Marahnya lagi. Memang dia mula sabar bila gadis itu lansung tak pandang mukanya sebaliknya hanya menundukkan rupanya sambil tak habis-habis mengucapkan kata maaf.

          “ Hei sedara! Kawan saya dah minta maaf dengan baik kan. Tak payahlah nak tenking sangat. Malulah sikit.” Tegur teman gadis tersebut.

          “ Dahlah Maria, aku yang salah. Memang salah aku. Encik, maafkan saya ye. Sekali lagi saya betul-betul minta maaf.” Kata gadis itu dan menyeret temannya supaya segera beredar dari situ.

          “ Kau ni Adam. Janganlah marah sangat. Kesian budak tu.” Tegur Syafiq pula.

          “ Huh, kesian tak kesian. Mujur aku tak jatuh tadi tau. Salah dia ar tak pandang depan.” Bidasnya tak puas hati.

           “ Kau ni dengan perempuan pun tak boleh mengalah. Dah lah tu, jom pergi cepat.” Pujuk Syafiq. Kalau dibiarkan makin melarat marah temannya itu. Bukan dia tak tahu Adam ni, orangnya jenis panas baran. Hmm..

             “ Kau ni Isya, boleh kau biar lelaki tu tenking kau tadi. Hish, kalau akulah, dah naik dah penampar ni. Biadap betul. Orang dah minta maaf baik-baik pun nak marah gila-gila. Macamlah mati kalau langgar dia tadi.” Bising Maria mengomel dalam kereta. Arisya tergelak kecil. Kelakar dia melihat temannya pula yang terasa.

             “ La kau ni, kena marah pun boleh gelak lagi?” Hairan Maria dengan temannya itu.

             “ Biarlah Maria. Salah aku juga masa tu. Aku cuai. Tak pandang depan. Kita tak boleh nak marah sangat pun kat laki tu, sebab dalam hal ni salah tu lebih kepada aku.” Kata Arisya sambil menarik tali pinggang keledar ke depan badannya.

              “ Kau ni penyabar sangat pun. Susah betullah nak tengok kau marah. Haish…” Sekali lagi Maria merungut. Dia pula sakit hati melihat Arisya dimarahi pemuda itu tadi.  Sepanjang perkenalan dia dengan gadis itu, memang susah nak lihat Arisya marah atau hilang sabar.

     Bila ditanya, Arisya selamba menjawab  “tak baik kalau selalu marah, nanti kita yang susah. Kalau nak marah sekali pun, banyakkan ingat tuhan. Sabar itu penting dalam islam. Orang yang penyabar itu adalah orang yang kuat.” Pesannya. 

   Hmm, Arisya Arisya….susah aku nak jumpa orang macam kau zaman sekarang ni. Lain dari yang lain. Bisik hatinya. Arisya pula malas nak bercakap lagi. Maria hanya menjeling temannya di sebelah. Sambil tu dia teringat insiden tadi. Bila diimbas muka lelaki yang marah-marah tadi, macam pernah tengok pula. Hmm..


               

  1. hehe..thankz sudi bace..ep 4 akn diupdate ptg atau mlm esk =)