NILAI KASIHMU (8)


.


Episod 8







     Langit malam itu sangat bening. Sekarang dia berada di dalam bas yang akan masuk ke arah pekan di kampungnya. Tak lama lagi dia akan sampai di rumah Pak Samad. Arisya yang sedang melihat ke luar tingkap bas mengelamun jauh.  Satu, dia masih dalam dilema untuk terima risikan dari Umi. Dua, dia terfikirkan panggilan dari Suhaila semalam yang menyuruhnya balik secepat yang boleh. Bila ditanya mengapa, beriya-iya Suhaila menyatakan Iqram akan masuk meminang dirinya. Bukan Arisya tidak gembira mendengarkan Iqram masuk meminang kakak tirinya itu, sebaliknya entah kenapa dia rasa berat sangat hati ni kali ni untuk pulang ke rumah. Jikalau benar Iqram mahu memperisterikan Suhaila, dia bersyukur. Sekurang-kurangnya dia tahu dia bakal dapat abang ipar yang cukup baik.

       “ Betul apa yang Aila cakap ni? Serius?” Beriya dia bertanya semula pada Suhaila di talian. Terdengar Suhaila ketawa kecil di hujung telefon.

       “ Yela, sebab tu Aila nak Isya balik. Tak lengkap pula kalau masa rombongan tu datang Isya takde. Kalau boleh Aila nak kongsi hari bahagia Aila dengan Isya. Isya balik tau. Mintalah cuti dari bos sehari dua. Isya balik ye…” Pujuk Suhaila pada adik tirinya itu.

       “ Owh, okay. Isya cuba…” lemah dia membalas.

       “ Kenapa suara Isya lemah semacam je ni? Isya tak happy untuk Aila ke?” Tanya Suhaila. Arisya tersenyum pahit mendengarnya.

       “ Bukan macam tu Aila. Isya happy sangat. Tapi sekarang ni Isya penat sikit. Baru habis kerja.” Jawabnya memberi alasan.  Sebenarnya dia lebih memikirkan risikan dari umi. Entah kenapa dia tidak boleh beritahu tentang risikan dari keluarga Adam  kepada Suhaila dan ayahnya. Mungkin belum masanya lagi.

        “ Kau cuba buat apa huh?!” Tiba-tiba ada suara yang menyedarkan dia dari lamunan yang panjang.

       Bila dia mendongak dia terlihat dua lelaki berdiri di tepi tempat duduknya. Seorang lelaki berbangsa melayu yang berusia 40-an menunjukkan muka gelisah, sebaliknya lagi seorang lelaki berbangsa melayu kacukan yang wajahnya dianggap muda dari Arisya memegang erat tangan tangan pak cik tersebut. Arisya yang baru tersedar tadi mula perasan yang suasana dalam bas agak tegang. Penumpang yang berada dalam bas semuanya memerhati ke arah mereka.

         “ Kau jangan cuba nak buat kerja yang tak elok dalam bas ni ye. Baik kau pulangkan balik apa yang kau dah ambil.” Tenang lelaki muda itu berkata, namun dari nada suaranya ada ketegasan yang tersembunyi. Arisya mengerutkan dahinya. Apa yang dah terjadi?

         “ Aku tak ambil apa-apalah!” Tegas pak cik itu membalas. Lelaki muda itu mula kurang sabar dengan sikap orang tersebut. Dia yang berpengalaman dalam seni mempertahankan diri dari kecil lagi mula memulas tangan lelaki yang lebih tua darinya itu. Terjerit pak cik itu dibuatnya menahan kesakitan. Arisya mula cuak melihat keadaan yang berlaku di depannya kerana dia yang paling hampir duduk di situ.

         “ Kalau kau tak ambil apa-apa, ini apa pula?! Batu?!” Tanya lelaki muda yang berbaju hitam itu sambil mengeluarkan purse berwarna biru muda dari poket seluar pak cik tersebut.

   Bila Arisya melihat ke arah purse tersebut, dia mula gelabah. Dia mencari pursenya di dalam beg yang diletakkan di sebelah tempat duduknya tadi. Ini kerana purse yang dipegang lelaki muda itu semirip dengan beg duitnya. Sekarang barulah dia sedar apa yang sudah terjadi. Pak cik itu rupanya mahu mencuri pursenya tadi semasa dia asyik mengelamun. Lelaki muda itu membaling purse tersebut ke arah seat di sebelah Arisya. Dengan segera, Arisya mengambil beg duitnya dan dipegang erat. Kebetulan ketika itu bas sudah sampai ke destinasi yang hendak dituju. Lelaki muda itu mula menyeret pak cik itu dan bawanya turun keluar dari bas. Dan pada masa itu dari tingkap, Arisya dapat melihat situasi di mana kebetulan polis yang mengawal di situ mula datang berlari ke arah pak cik tersebut dan memberkasnya. Arisya mengurut dadanya dan mula beristighfar. Hampir sahaja beg yang berisi kad pengenalan, lesen dan duitnya hilang. Mujur ada pemuda tadi. Bila dia lihat sekeliling barulah dia sedar, semua penumpang sudah turun keluar dari bas kerana mahu melihat pencuri tadi diberkas oleh polis. Cepat-cepat Arisya turun dan mencari lelaki yang sanggup membantunya. Nasib baik lelaki itu tidak pergi dari situ, sebaliknya bercakap sesuatu dengan pihak polis. Bila sudah habis berbicara, Arisya memberanikan diri menegur lelaki tersebut.

       “ Awak, terima kasih ye sebab tolong saya tadi. Kalau awak tak tolong, habis beg duit saya kena curi dengan pak cik tu. Terima kasih banyak-banyak.” Ucap Arisya penuh keikhlasan. Dia bersyukur ada insan yang peka ketika kejadian itu berlaku tadi. Lelaki yang tinggi lampai dan bertubuh agak kurus itu memandang Arisya yang paras dadanya. Arisya perasan yang lelaki ini wajahnya seakan cina melayu bila dilihat seimbas.

       “ Lain kali, jangan asyik termenung je. Kau kena jaga-jaga sekeliling kau. Tambah lagi kau tu perempuan.” Lelaki itu memberi amaran dan nasihat pada Arisya. Baru Arisya nak bercakap lagi, lelaki itu sudah memakai cap nya di kepala dan membawa beg sandangnya berlalu dari situ tanpa menoleh pada Arisya.

       “ Apa-apa pun terima kasih. Semoga Allah swt membalas jasa baik awak.” Cakapnya perlahan seorang diri walaupun lelaki itu sudah berjalan jauh darinya. Arisya tersenyum mengenangkan kebaikan lelaki misteri tersebut walaupun lelaki itu tidak menunjukkan sifat ramah sebaliknya berlagak agak sombong sedikit.

       “ Isya!” Laung Pak Samad dari jauh. Arisya berhenti melihat ke arah lelaki yang membantunya tadi mula masuk ke warung makan. Dia menoleh memandang ayahnya yang sedang bersandar di kereta. Cepat-cepat dia berjalan ke arah Pak Samad.

     Lelaki yang berbaju t-shirt hitam tadi membuka cap nya dan diletakkan di atas meja. Dia melihat sekitar kawasan yang baru dijejaknya. Walaupun sudah malam, dia boleh terasa hangat lagi. Pandangannya terhenti seketika pada gadis  yang dibantunya tadi yang mula masuk ke kereta seorang pak cik tua. Mungkin ayah gadis tersebut, sangkanya. Terus dia menjamu makanan yang disediakan oleh tuan kedai tersebut dengan berseleranya. Macam-macam hal yang berlaku dalam sehari ini sudah cukup membuatnya penat.


                

****************************************************




       “ Wah, bertuah kau Idah, tak lama lagi anak kau kahwin dengan anak tan sri.  Amboi, bertambah untunglah kau. Pandai Suhaila tangkap ikan emas kali ni ye.” Beriya saudara belah Mak Idah bercakap. Mak Idah tersenyum bangga. Siapa yang tak bangga kalau bakal dapat menantu yang kacak dan kaya. Memang itu harapannya untuk satu-satunya anak perempuan yang dia sayangi itu.

    Bagi Pak Samad pula, dia tidaklah menaruh harapan sangat. Sedangkan dari hari yang Suhaila berkata tentang rombongan Iqram akan tiba, dia sudah rasa semacam. Sebenarnya Pak Samad masih lagi tertanya-tanya, sejak bila pula Iqram menaruh hati pada anak tirinya itu. Sedangkan dia boleh nampak cara layanan dari Iqram yang melayan Suhaila hanyalah seperti kawan biasa dan tidak lebih. Namun dia berdoa sahaja supaya segala yang berlaku hari ini berjalan dengan lancar.

       Arisya mengenakan lilitan selendang berwarna hijau lembut itu dengan cermat di kepala Suhaila. Suhaila dari pagi tadi lagi tak habis-habis tersenyum. Dia sendiri tidak menyangka yang Iqram turut menaruh perasaan padanya. Tidak sia-sia usahanya selama ini yang cuba mendekati Iqram terhasil.

         “ Dah siap. Aila ni kalau pakai tudung lagi lawa. Berseri je..” Puji Arisya sambil memandang ke arah cermin.

         “ Betul ke Isya? Hehe..” Ceria dia bertanya. Arisya senyum sambil mengangguk mengiyakan. Nampaknya kat luar sudah riuh dengan segelintir saudara maranya dan ada juga saudara mara dari belah Mak Idah yang sudah menunggu di ruang tamu.

     Tidak lama kemudian, kedengaran kereta memakir keretanya dihadapan rumah Pak Samad. Bila Pak Samad meninjau dari tingkap, dia boleh nampak kelibat Iqram yang baru keluar kereta Honda miliknya. Di belakang keretanya, ada sebiji lagi kereta lain. Mungkin saudara mara Iqram. Setelah semuanya sudah berkumpul di ruang tamu, acara bicara permulaan kata dimulakan oleh pihak lelaki. Atuk saudara Arisya yang mewakili belah pihak perempuan cuba membalas apa yang disoal dan ada juga bertanya serba sedikit kepada rombongan lelaki.

       “ Jadi, saya ni sebagai wakil dari pihak lelaki, inginlah teruskan hajat kami untuk memetik bunga dalam rumah ni.” Kata bapa saudara Iqram dengan nada gurauan. Ayah Iqram tidak dapat hadir kerana kesibukan kerja.

       “ Dalam rumah ni ada dua kuntum bunga. Yang mana satu?” Balas atuk saudara belah pihak perempuan. Sedangkan mereka sudah dikhabarkan risikan itu untuk Suhaila, tetapi sengaja atuk membalas dengan cara begitu. Suhaila dan Arisya yang duduk di bilik hanya mendengar sahaja sambil tersenyum.

        “ Anak teruna kami ni berkenan dengan satu kuntum je. Siapa lagi kalau bukan Siti Nur Arisya. Gadis yang menjadi pilihannya.” Tatkala bapa saudara Iqram menyatakan pilihan Iqram, suasana di ruang rumah tersebut mula kecoh. Saudara belah pihak perempuan mula berpandangan.

         “ Err, maafkan saya kalau saya menyampuk. Tapi tadi encik kata untuk Arisya? Pasti?” Tanya atuk saudara belah perempuan. Bapa saudara Iqram hanya mengangguk sambil tersenyum.

      Iqram sudah mula pelik melihat wajah-wajah belah perempuan yang mula menunjukkan reaksi yang dia tidak sangka. Suhaila terkedu. Arisya terdiam. Pak Samad dan juga Mak Idah pun tak tahu nak balas apa.

         “ Aila!” Panggil Arisya apabila dia menyedari Suhaila bangkit dari kerusi di dalam bilik dan berlari keluar dari rumah.

     Bila gadis itu melintas di ruang tamu, semua tetamu memandang ke arah dua beradik tersebut. Arisya yang melihatkan Suhaila sudah berlari jauh dari rumah mula turun dari tangga dan menyarung seliparnya untuk mengejar kakak tirinya itu. Saat ini dia dah tak mampu nak fikir apa lagi. Iqram yang tak tahu apa sebenarnya telah terjadi mula berdiri dan berjalan ke arah pintu. Dari situ dia nampak Suhaila berlari laju keluar dari kawasan rumah dan dibelakangnya Arisya cuba menyaingi kakak tirinya.

       “ Maafkan kami, tapi sekali lagi kami nak bertanya, betul ke Iqram nak meminang Arisya?” Iqram menoleh apabila Pak Samad yang menanyakan soalan itu padanya.

       “ Betul pak cik.”

       “ Eh, betul ke anak? Bukan kamu nak meminang Suhaila ke?” Celah Mak Idah yang mula menunjukkan wajah risau. Iqram mengerutkan dahinya. Sah, dah berlaku salah faham.

       “ Err, maafkan kami Pak Samad, tapi saya rasa dalam hal ni dah berlaku salah faham. Saya ikhlas nak memperisterikan Arisya dan bukannya Suhaila.” Jujur Iqram. Sekali lagi keadaan mula menjadi kecoh mendengar pengakuan dari Iqram.

       “ Ah, sudah…” Luah Pak Samad perlahan. Namun boleh didengar oleh Mak Idah. Wanita tua itu cuba menahan marahnya dari membara bila memikirkan perkara yang memalukan baru sahaja terjadi itu.




                   *************************************************



     “ Aila…” Tegur seorang gadis di belakangnya. Suhaila mengesat kasar air matanya yang tak berhenti turun dari tadi. Dia menoleh memandang Arisya yang berada tidak jauh darinya dengan pandangan yang tajam.

     “ Puas hati kau kan!!” Katanya. Arisya terkedu bila Suhaila berkata kasar padanya. Tak pernah-pernah Suhaila meninggikan suara didepan dirinya.

       “ Aila, Isya tak tahu apa-apa pasal hal ni. Mungkin diorang silap cakap tadi. Aila, please…”

       “ Huh! Cukuplah Isya! Tak payah nak tunjuk baik! Semua kau nak sapu kan! Hei, kau sendiri tahu kan aku suka kat Iqram, tapi sanggup kau tikam aku dari belakang. Adik jenis apa kau ni hah!!” Marahnya lagi. Arisya terdiam. Sebak dadanya bila dituduh sebegitu.

       “ Aila, kenapa sampai macam tu sekali Aila tuduh Isya. Demi Allah, Isya tak buat macam tu. Isya sendiri tak tahu apa yang sebenarnya dah terjadi. Isya pun terkejut tadi. Isya tak pernah nak merancang apa-apa, apatah lagi nak cuba rampas Iqram dari Aila, sedangkan Isya tahu perasaan Aila pada Iqram. Aila, jangan buat Isya macam ni…” Rayu Arisya. Masa ini air matanya sudah pun berlinangan jatuh di pipi. Suhaila sengih sinis melihat Arisya yang menangis itu.

       “ Hei, perempuan! Kau tak payah nak berlakon depan aku! Kat sini takde siapa pun. Tak payah nak tunjuk baik sangat! Aku tahulah kau ni suka tarik perhatian lelaki. Sejak dari sekolah menengah lagi semua lelaki nak kat kau! Asyik asyik nama kau je diorang sebut. Kau tahu tak aku menyampah dengan kau!” Mendengarkan sumpah seranah dari kakak tirinya itu sudah cukup membuatkan hati Arisya berasa terluka yang amat. Pedihnya hanya tuhan sahaja yang tahu.

        “ Aila…sumpah, Isya tak berniat nak buat Aila rasa macam tu. Aila tahu kan Isya sayangkan Aila dan Isya takkan sesekali tikam belakang Aila. Aila, tolong maafkan Isya, Isya lansung tak berniat pun nak kan hal ni terjadi.” Suhaila terdiam. Masa tu macam-macam perasaan mengaburi hatinya. Antara benci, menyampah, malu, semuanya ada. Satu dia benci dengan apa yang baru terjadi, dua, dia menyampah dengan Arisya yang menangis di depannya. Dan yang paling dia tak tahan, dia malu dengan dirinya sendiri sebab menyangka Iqram suka pada dirinya. Sedangkan dia tahu dia juga yang bertindak melulu tidak soal dahulu lelaki tersebut.

         “ Kalau betul kau sayangkan aku, kau anggap aku kakak kau, aku nak kau tolak pinangan Iqram.” Walaupun nada suaranya direndahkan, namun tersirat ketegasan dalam pendiriannya. Arisya mendongak memandang Suhaila yang mula membelakanginya dan menghadap ke arah sungai. Walaupun air sungai itu mengalir dengan tenang, jiwa kedua-dua gadis itu berasa sebaliknya.

        “ Kalau Aila tak cakap pun, Isya tetap akan tolak pinangan tu. Aila tak payah risau. Sebab Isya takde simpan satu pun perasaan pada Iqram.” Luahnya perlahan. Suhaila berjalan ke arahnya dan memandang wajah Arisya dengan pandangan yang sukar ditafsir.

        “ Kau takde perasaan kat dia? Huh, macamlah aku nak percaya. Hei, Isya, kalau kau cakap macam tu semata-mata nak jaga hati aku, lupakan! Tapi, buktikan apa yang kau dah cakap tadi. Balik ni, aku nak dengar kau cakap depan ibu dan ayah yang kau akan tolak pinangan tu. Kalau kau tak buat, aku akan benci kau selama-lamanya!”





                        *****************************************************


       
     Mak Idah tak sempat memanggil anaknya kerana Suhaila terlebih dahulu berlari masuk ke bilik. Ketika itu semua tetamu sudah pun pulang. Pak Samad dan dirinya terpaksa menebalkan muka atas apa yang baru terjadi tadi.

       “ Macam ni lah Iqram. Pak cik rasa baik Iqram dan keluarga Iqram balik dan berehat dulu. Pak cik akan tanya jawapan Arisya nanti. Maafkan saya Puan Sri atas apa yang dah berlaku.” Kata Pak Samad. Mak Idah hanya menyepikan diri di sebelah suaminya. Saat itu dia rasa malu sangat nak berhadapan dengan keluarga Puan Sri itu.

           “ Tak mengapalah. Benda kita tak boleh jangka kan. Saya faham..kami minta diri dulu lah. Apa-apa hal, telefon saja Iqram ye.” Puan Sri Indah membalas dengan baik. Dia sendiri pun berasa serba salah tadi. Apabila semua tetamu sudah pun balik, Mak Idah mula membuka mulut. Dia merungut-rungut mengatakan itu ini. Dan yang paling penting dia menyalahkan Arisya dalam hal ni.

        Pak Samad yang hanya melihat Suhaila berlari masuk ke biliknya juga terdiam. Tak boleh nak buat apa lagi. Dia turun ke tangga menunggu kepulangan anak kandungnya Arisya. Bila dari jauh gadis itu berjalan, Pak Samad berdiri menanti ketibaan anaknya. Dia paling tahu apa yang Arisya rasa saat ini. Dia tahu fikiran Arisya bercelaru. Bila anaknya rapat padanya, dia memeluk erat anaknya sambil mengusap kepala Arisya. Arisya melepaskan tangisannya di dada ayah kesayangannya itu.

       “ Ayah, Isya minta ampun ayah…Isya tak berniat nak malukan keluarga kita. Isya sendiri tak tahu hal macam ni akan berlaku. Isya minta maaf ayah.” Katanya tersedu sedan menahan tangis.

       “ Tak mengapa nak, ayah faham. Isya tak bersalah...” Pujuk Pak Samad dengan lembut. Hatinya remuk melihatkan Arisya menangis. Dulu, pertama kali dia melihat Ariysa menangis seperti itu adalah semasa arwah isterinya meninggal dunia. Dan kali ini, tangisan itu kembali bermaharajalela di wajah anaknya semula. Pak Samad memegang bahu Arisya. Kemudian dia mengusap air mata yang mengalir itu dengan jari yang sudah berkedut itu. Sedaya upaya dia mengukirkan senyuman untuk anaknya.

       “ Dahlah tu sayang. Naik atas dulu ye. Basuh muka tu. Banyakkan mengucap. Ingat Allah…tak baik kalau asyik menangis macam ni. Tak elok.” Nasihatnya lagi. Arisya mengelap sisa air mata yang tinggal dan mengangguk. Perlahan-lahan dia naik ke atas rumahnya. Sementara itu Pak Samad membetulkan pasu bunga yang telah jatuh ke atas tanah. Mungkin disebabkan Suhaila yang berlari tadi melanggarnya.

     ‘Pang!!’

         Pak Samad menoleh ke arah rumahnya. Dari bawah dia dapat mendengar apa yang terjadi. Dengan cepat dia berlari ke atas. Kelihatan Arisya memegang sebelah pipinya menahan sakit. Mak Idah pula yang berhadapan dengan Arisya menunjukkan muka yang bengis.

          “ Astaghfillah al-azim, Idah! Apa awak dah buat ni?!” Jerit Pak Samad memeluk bahu anak daranya itu.

          “ Pasal anak awak ni lah! Memalukan betul! Hei, Isya…kenapa kamu sanggup buat kat kakak kamu macam tu! Kamu saja nak malukan Aila kan!” Marah Mak Idah pula.

          “ Ibu, maafkan Isya ibu. Isya tak bermaksud pun nak malukan keluarga kita. Isya tak tahu pun hal ni akan berlaku.” Jawab Arisya yang menahan kesakitan di pipinya itu. Tatkala itu mengalir lagi air matanya. Suhaila yang mendengar ibunya menampar Arisya tadi terdiam. Kalau dahulu, mungkin dia akan membela Arisya, tetapi masa ini, dia rasa puas bila ibu menampar Arisya dengan kuat tadi.

           “ Jangan kamu nak bohong! Ibu tahu kamu tergila-gilakan Iqram tu kan. Lepas tu kamu guna ubat-ubat buat Iqram tu gilakan kamu kan!” Tuduh Mak Idah kegeraman.

           “ Idah! Cukup! Kenapa awak asyik nak salahkan hal ni pada Isya. Kenapa awak berkeras sangat sampai tampar dia! Awak dah melampau tahu tak!” Tengking Pak Samad pula. Kali ni memang dia dah mula hilang sabar pada isterinya. Dia mahu menampar isterinya atas sifat kurang ajar wanita itu, namun Arisya cepat-cepat menghalang ayahnya.

            “ Ibu…demi Allah, Isya takde niat nak ambil siapa-siapa pun. Isya, Isya sayangkan Aila, Isya sayangkan ibu. Dan Isya takkan buat benda macam tu. Ayah, Isya minta ayah tolong jangan marah. Ayah tolong cakap dengan keluarga Iqram, Isya takkan terima pinangan diorang.”

            “ Isya….” Pak Samad dah tahu nak kata apa lagi.

            “ Lagi satu, Isya rasa dah sampai masanya Isya bagitahu ayah. Isya sebenarnya suka kat orang lain, dan bukan Iqram.” Luahnya. Suhaila yang mendengar terus keluar dari bilik dan berdiri tidak jauh dari situ. Mak Idah turut diam. Dia mahu mendengar lebih lanjut butiran yang dikatakan gadis tersebut.

          “ Kalau ibu tak percaya, Aila pun tak percaya, tak mengapa. Tapi Isya tak tipu. Isya nak kahwin dengan orang lain dan orang tu semestinya bukan Iqram sebaliknya kenalan Isya juga. Ayah, nanti Isya akan suruh kenalan Isya tu datang hantar rombongan kat kampung ni secepat yang mungkin. Yang pasti sekarang ni, Isya nak minta tolong ayah. Tolong hantarkan Isya kat perhentian bas. Isya nak balik kl.” Sambungnya lagi. Suhaila terkedu. Tidak pula dia tahu mengenai hal itu. Betul ke apa yang dikatakan gadis itu atau sengaja dia buat alasan?

           “Isya janganlah balik lagi nak…”

           “ Ayah, tolong…Isya rasa ini yang terbaik.  Ibu, Isya sekali lagi minta maaf. Aila, Isya minta maaf. Sekali lagi Isya nak nyatakan yang Isya tak berniat nak malukan sesiapa.” Ucapnya. Pak Samad sekali lagi memeluk anaknya dengan erat.

    Mak Idah yang melihat mencebik. Baginya, bagus juga gadis itu pergi dari situ buat masa ni. Dan dia berharap, apa yang Arisya cakap tadi betul dan bukanlah hanya sekadar alasan untuk menenangkan dirinya dan Suhaila.




                       **************************************************




     “ Umi! Umi!” Beriya-iya Puan Yati berlari anak di dalam rumahnya untuk mencari ibunya itu. Umi yang berada di dalam dapur terkocoh-kocoh mendapatkan anak sulungnya itu.

     “ Ha, kenapa Along panggil umi dari tadi lagi ni? Ada apa-apa ke? Boboy sakit ke nak?” Tanya uminya pula.

       “ Ish, umi ni ke situ pula. Boboy tu sihat je hah. Siap main game lagi kat depan tu. Adam mana umi?”

       “ Adam kat luar tu, tengah cuci kereta.” Jawab uminya. Kebetulan ketika itu muncul orang yang disebut-sebut masuk ke dapur.

       “ Ha, ni apahal tiba-tiba sebut nama Adam tadi? Ni mesti nak mengumpat kan.” Kata Adam. Puan Yati memulas geram telingan adiknya itu. Mengeliat Adam dibuatnya.

       “ Apa ni kak long! Sakit ar..” Bising mulut Adam mengadu. Sambil itu diusap telinganya yang menjadi mangsa Puan Yati tadi. Orang dah dewasa pun dilayannya macam aku ni kecik lagi. Bising hatinya mengomel.

       “ Orang tak cakap apa-apa lagi, kau dah tuduh kak long mengumpat kau ye. Padan muka!” Kata Puan Yati.

       “ Sudah, sudah! Kamu berdua ni pun, masing-masing dah tua pun nak bergaduh lagi.” Celah Umi.

       “ Ha, cakap jelah kak long apa yang kamu nak cakap tadi, kenapa dengan Adam?” Tanya Uminya berbalik pada topik asal.

       “ Tadi, lepas je kak long habis solat asar tadi, kak long saja cek handphone ni ha. Arisya call kak long tadi, tapi kak long tak jawab sebab tengah solat…” Tak habis lagi dia bercakap Adam dah potong dulu.

       “ La, itu pun nak kecoh.” Katanya. Puan Yati menjeling tajam pada adiknya.

       “ Kau ni bagi kak long habis cakap dulu boleh tak?! Aku pulas lagi telinga tu karang tahulah!” Balasnya. Adam tersengih.

        “ Ha, sambung sambung…” Kata Umi.

        “ Owh, okay. Jadi bila kak long tak jawab, kak long tengoklah handset tu, rupa-rupanya ada mesej dari Arisya. Agaknya sebab kak long tak angkat so dia bagilah mesej.”

        “ Dan ?...” Tanya Adam mencelah lagi.

        “ Kak long rasa umi boleh agak apa yang Arisya mesej kan kalau umi tengok Kak long asyik senyum je ni…” Puan Yati menyuruh uminya meneka. Adam dalam keadaan blur. Umi dah mula mengukirkan senyuman.

        “ Alhamdulillah….akhirnya terbuka juga hati Arisya terima pinangan kita hari tu. Syukur Alhamdulillah.” Ucap uminya. Bila mendengarkan uminya berkata begitu barulah Adam faham. Entah kenapa bila dia melihat kakaknya dan uminya gembira dengan keputusan itu, hatinya berasa senang. Tanpa dia sedar, bibirnya menguntumkan senyuman.







* ok, episod kali ni teremosi pulak.haha, jemput bace ye.. =)

  1. Lorr.... kesiannya kat Iqram... Rupanya selama ini, Suhaila dan ibu tiri Arisya mmg tak ikhlas menyayanginya... Hubungan "tiri" terlalu jelas bagi mereka.

    Dah rezeki Adam pula berjodohan dgn Arisya... Selamat bertunang.. Hihihi....

  1. pergh..boleh minta izin nak lempang laju laju minah gediks Suhaila tu.. sedangkan dah bersuluh lagi terang dan nyata Iqram meminang siArisya .. Bila Arisya menolak pinangan Iqram adakah Suhaila akan menjadi gantian tempat Arisya..akak rasa jauh panggang dari apikan yg mamat Iqram tu sudi untuk melamar Suhaila sebab hati dah tertarik pada si Arisya dan adakah Iqram akan berlalu begitu sahaja..bagaimana penerimaan mak tiri dan kak titinya yg lebih sudu dari kuah tu..

    Tak sangka pulak penerimaan Adam terhadap lamaran untuk dirinya diterima dengan senang hati sedangkan apabila mereka berjumpa pasti Adam akan menyinga..

    Terujanya nak tahu kesinambungan perjalanan citer ni..

  1. >tnpa nama..., 2la, da name pun tiri kan, tp x sume yg tiri jht..suke ye adam ngan arisya?haha

    >ruuna qizbal, hehe..thanz sudi bace, insyaallah akn disambung time sahara free, ok!

    >kak ida, kalo leh lempang, silakan je kak..hehe..xpe kak, nk tau lebih lnjut, tggu next update okay!hehe..thanz sudi bace =)

  1. Best3....

    Kesian arisya,mmg x patut betul kakak ngan ibu tirinya...
    Cepat adam masuk meminang arisya x sabar tunggu next n3 ni....:-)
    Tp kesian jgak kat iqram yg suka kat arisya tu.sapa hero sebenarnya?adam ke iqram coz cam best jea dua watak hero ni,hihihi:-)
    Good job & nak lg plez ;-)

  1. hehe, thanz ani man.nnt sahara update ye.kalo nak tau sape hero sbnrnye, kne bace update seterusnya..hehe=)

  1. Harap iqram tak akan terima Suhaila. Biar dia rasa. Kalau Iqram tak jadi dengan Arisya biarlah dia dengan Maria lagi baik.

  1. wah, maria untuk Iqram??hmm,not bad cr awk fikir..hehe, btw, thanz sudi bace =)