SeMaNis RaSa CinTa...2
undefined
7.February
7.February
PART 02
Kotak yang berisi buku dan majalah itu dibuka. Sarah membantu mengeluarkan beberapa buah buku dari kotak tersebut dan disusun kemas ke dalam rak yang disediakan. Manakala cadar katil pula dipasang oleh Julie. Crystal pula mengelap meja belajar yang sudah berhabuk itu dengan menggunakan kain basah.
“ Takpe ke Crystal awak duduk bilik
sorang-sorang ni?” Tanya Sarah sambil mengemaskan baki buku yang ada di dalam
kotak.
“ Eh takpe. Saya okay je. Bagus juga
kalau duduk sorang ni. Senang nak fokus belajar. Oh ye Julie, dalam akademi ni
kan, ada berapa bahagian jurusan ye?” Tanya Crystal ingin tahu. Julie duduk di
atas katil dan memandang ke arah Crystal. Dia seolah-olah berfikir sejenak
sebelum menjawab persoalan itu.
“ Semuanya ada tiga. Macam bidang kita
ni, bakery dan pastry, kemudian ada jurusan fashion, yang ketiga bidang muzik.
Antara tiga jurusan tu, semuanya ada subjek perniagaan. Awak tahulah kan, semua
yang belajar di akademi ni kebayakan orang yang berasal dari keluarga yang kaya
raya. Jadi asas perniagaan adalah wajib semua belajar. Dan yang paling penting,
subjek tulah saya tak gemar. Huh!..” Jelasnya. Sarah yang mendengar ketawa
kecil. Dia tahu, walaupun Julie tak suka belajar tentang perniaagaan, tapi bila
tiba sahaja ujian, Julie mampu memperolehi markah yang agak membanggakan.
“ Err, yeke? Macam susah je. Hmm…”
Luah Crystal. Dia risau kalau dia tak dapat kejar semuanya dalam masa yang
singkat. Sarah datang menghampiri Crystal dan menepuk bahu temannya dengan
perlahan.
“ Awak janganlah risau. Awak boleh
punyalah Crystal. Cuma awak kena usaha lebih sikitlah kalau nak kejar semua
subjek yang dah ketinggalan. Kami berdua akan bantu apa yang patut nanti. Ha,
saya ada juga terfikirkan hal ni, awak beriya masuk jurusan bakeri ni mesti
awak dah mahir buat segala manisan kan? Kalau tak, mustahil Mr. Robert pilih
awak.” Katanya. Crystal tersengih malu. Aku mahir? Hahaha….
“ Saya sebenarnya tak tahu lansung nak
buat kek atau dessert yang lain. Serius, saya jujur ni. Yang saya tahu makan
je. Hehe…” Jujurnya. Julie dan Sarah yang mendengar ternganga. Parah kalau
macam ni.
“ Crystal, awak tahu tak, kalau awak
macam ni, masa ujian nanti awak boleh gagal tahu tak. Dahlah ujian awal tahun
akan diadakan tiga minggu lagi. Takkan asas dalam buat manisan awak tak tahu
lansung?” Sergah Julie. Crystal masih lagi senyum-senyum kambing. Malu ditegur
sampai begitu sekali.
“ Urm, kalau setakat buat benda-benda
asas macam kek butter, kek coklat tu saya bolehlah sikit-sikit. Tambahan pula
saya baru je belajar dengan pak cik saya sebulan yang lepas. Dia sempat ajar
saya buat dua kek tu lah. Lepas tu saya ada belajar buat penkek dan beberapa
jenis roti. Yang lain saya tak tahu…huhu.” Luahnya. Sarah yang mendengar
mengeluh.
“ Hmm, takpelah Crystal,
sekurang-kurangnya awak dah tahu cara nak menggunakan oven bukan? Awak tahu,
bila je awak masuk ke bilik masakan, semuanya awak kena usaha sendiri tau.
Masing-masing akan sibuk masa tu dan takkan ada seorang pun yang akan bantu
awak untuk mengajar benda asas. Sebab benda-benda basic semuanya kami dah
belajar masa tahun satu. Sekarang ni kita dah masuk tahun ke-dua dah pun. Semuanya
bergantung pada awak sendiri nanti. Risau pula saya bila fikirkan kelas petang
esok. Awak tahu kan, esok petang lepas kelas sains, kita ada kelas masakan
dengan chef Linda? Dia tu dah lah tegas.” Ujar Sarah. Crystal menelan air
liurnya bila mendengar apa yang diterangkan oleh sahabatnya itu. Nampaknya dia
memang tak buat persiapan yang rapi untuk masuk ke akademi ni.
“ Habislah saya kalau macam ni. Nampaknya tak sampai sebulan nanti, saya dah
kena keluar dari akademi ni.” Crystal meluahkan rasa risaunya. Julie datang
hampir pada gadis itu dan duduk disebelahnya. Sebelah tangan gadis itu
digenggam erat.
“ Awak janganlah cepat putus asa. Belum
cuba belum tahu bukan. Hmm, saya ada idea. Kitorang berdua boleh bantu awak
Crystal.” Cadangnya. Bersinar mata Crystal bila Julie berkata begitu.
“ Kita nak tolong macam mana wei?”
Tanya Sarah pada Julie.
“ Kelmarin masa aku masuk pejabat chef
Linda, aku ada terbaca jadual pembelajaran dia. Bukan aku sengaja nak baca ek,
tapi dah kertas tu depan mata aku. Aku
ingat lagi, untuk kelas dia esok, dia nak suruh kita buat resipi creepe.”
“ Crepe? Celah Sarah.
“ Yup, crepe. Mille crepe. Crepe yang
berlapis dengan krim kastard tu. .”Balas Julie dan Crystal pula mula mencelah.
“ Tunggu kejap. Creepe? Okay, saya
tahulah bentuk creepe tu macam mana. Rasa dia pun teramatlah sedap. Tapi untuk pengetahuan awak berdua, saya
lansung tak reti nak buat creepe tu. Jangankan kata inti dia, tepung untuk
adunan tu pun saya tak tahu lansung nak pakai yang mana.” Luahnya lagi. Julie
yang mendengar tersengih.
“ Awak ni pun kan Crystal, risau
sangatlah. Rilekslah sikit. Esok dalam kelas kita belajar okay, bukannya ujian.
Dah tentulah chef Linda akan bagi kita tengok senarai bahan yang diperlukan. Apa
yang saya pasti esok chef Linda nak tengok semua pelajar dia hasilkan creepe
berlapis. Itu yang saya ingatlah apa yang dibaca pada jadual tu. Dan disebabkan
itu jugalah, mulai petang ni, lepas je kita semua habis kemas apa yang patut,
saya nak awak, Crystal, ikut kami berdua ke bilik bakery. Malam ni kita akan
praktis macammana nak buat adunan creepe yang enak dan juga saya akan ajar awak
untuk bezakan bermacam-macam jenis tepung yang bakal digunakan untuk sesi
pembelajaran nanti. Okay?” Jelas Julie dengan penuh semangat.
Crystal membalas dengan anggukan. Sejenak
kemudian, dia berfikir sesuatu. “ Err, kita buat creepe tu kena pakai oven ke?”
Tanyanya. Mendengarkan soalan dari Crystal, Julie dan Sarah menepuk dahi mereka
dengan serentak. Dah memang tahap kritikal budak ni.
“ Sayangku Crystal, kita buat creepe
tak pakai oven. Kita cuma gunakan kuali leper dan dimasak di atas dapur. Hmm,
tak boleh jadi ni, baik cepat kemaskan bilik ni. Banyak nak kena ajar budak
ni.” Kata Julie. Crystal senyum malu. Aduh, manalah aku nak tahu…
Walau apa pun, Crystal dah tak sabar nak
belajar buat semua tu nanti. Sarah yang melihat gelagat dua rakannya itu
tergelak kecil. Kelakar pula dia tengok rupa dua temannya itu yang penuh
semangat. Crystal bangun dari duduk dan menuju ke tingkap. Wajahnya didongak ke
langit memandang awan nan biru sambil mengukirkan senyuman lega. Lega kerana
dia dapat berjumpa teman sebaik Julie dan Sarah.
‘ Nenek, Crystal pasti akan belajar
bersungguh-sungguh untuk jadi pastrier yang hebat suatu hari nanti. Crystal dah
tahu apa cita-cita Crystal. Crystal nak jadi patissier macam nenek yang mahir
dalam buat manisan yang sedap dan enak. Crystal nak orang yang merasa manisan
yang Crystal buat nanti boleh tersenyum dan suka dengan hasil kerja Crystal.
Crystal janji semua tu. Dan apa pun lepas ni halangan yang datang, Crystal
takkan mudah mengalah! Itu janji Crystal nek!’ Luahnya di dalam hati
seolah-olah arwah neneknya dapat mendengar. Ya, itu azam yang dia telah
sematkan mulai saat ini. Walaupun nenek dah lama meninggal dunia, namun harapan
yang dia cipta itu seakan azam dan janji yang telah diikrar bersama nenek
tersayang. Crystal tersenyum puas….
*******************************************************
Satu persatu fail yang bertimbun di atas
mejanya disemak. Walaupun setiap hari banyak tugas yang menantinya, namun dia
hadapi tanggungjawabnya sebagai waris utama dari syarikat Sir Qryst dengan
begitu amanah. Ketika itu juga, seorang wanita yang berpakaian kemas formal
pejabat datang masuk ke biliknya.
“ Tuan, Sir Qryst mahu berjumpa dengan
tuan.” Kata pembantu peribadinya. Belum sempat Robert mahu membalas, ketika itu
datuknya Sir Qryst selamba masuk ke dalam bilik pejabat cucu tunggalnya itu dan
duduk di atas sofa . Robert hanya mampu tersenyum bila melihat perihal datuknya
yang satu itu.
“ Datuk apa khabar?” Tanyanya sambil
berjalan ke sudut sofa di dalam pejabatnya.
“ Datuk okay je. Datuk takde banyak masa ni.
Datuk datang sini cuma nak tahu pasal perkara sebenar. Baik kamu jujur dengan
Datuk.”
“
Pasal apa ni tuk?” Balas Robert dengan nada berpura-pura. Sedangkan dia sudah
tahu yang datuknya pasti sudah dengar khabar angin dari orang lain.
“ Jangan kamu buat-buat tak tahu pula.
Kenapa kamu masuk campur dalam urusan lembaga akademi Triniston? Kamu tahu kan,
generasi kita dah lama lepas tangan dalam apa-apa hal sekali pun berkenaan
dengan akademi tu. Tapi kenapa kamu buat macam tu? Dan datuk juga ada dengar
yang kamu cuba biayai biasiswa untuk seorang pelajar di akademi tu. Siapa budak
tu?” Tanya Sir Qrsyt dengan nada yang tak puas hati. Robert tidak mudah
tersentak dengan amarah datuknya itu, sebaliknya dia mampu lagi berlagak dengan
tenang.
“ Datuk, cuba bawa bertenang. Saya ada
sebab untuk buat semua tu.” Balasnya sambil tersenyum. Sir Qryst cuba menarik
nafas dan melepaskannya dengan perlahan.
Dia
perhatikan cucu tunggalnya itu. Dengan memiliki wajah yang kacak, tinggi
lampai, bijak dan aktif, saling tak tumpah seperti dirinya ketika muda dahulu.
Namun beza dia dengan cucunya itu cuma satu. Pemikiran cucu lelakinya itu melangkaui
batas pemikirannya. Dia tidak boleh mengagak apa yang sering difikirkan anak
muda tersebut. Sejak dari kecil lagi Robert sudah dididik dengan pelbagai cara
dan kaedah untuk menjadi seorang bangsawan dan usahawan yang berjaya
sepertinya.
“ Baiklah. Cuba kamu jelaskan pada
Datuk. Apa sebab kamu buat semua tu?” Arah Sir Qryst. Matanya betul-betul
bertentang dengan mata Robert.
“ Saya terpaksa masuk campur dalam
urusan lembaga akademi tu. Sebabnya cuma satu je tuk. Saya nak budak yang saya
taja biasiswa tu dapat belajar dengan sempurna di akademi tu. Kalau saya tak
campur tangan, susahlah budak tu nak masuk ke sana. Itu je.” Jelasnya ringkas.
Namun cukup buat datuknya keliru. Melihatkan dahi datuknya mula berkerut,
Robert ketawa kecil.
“ Kenapa kamu beriya-iya nak budak tu
belajar kat sana? Apa yang istimewanya budak tu sampaikan kamu perlu buat
sampai macam tu sekali?” Tanya Sir Qryst ingin tahu.
“ Urm, datuk boleh katakan dia tu
seorang yang istimewa. Saya ada sebab untuk pilih dia tuk. Sebabnya saya nak
dia jadi anak didik saya suatu hari nanti.” Balasnya. Bila Sir Qrsyt
memandangnya dengan pandangan yang tajam, Robert mula menyambung lagi.
“
Datuk pasti ingat pada Tarry Marryson bukan?” Soal Robert pula.
“ Mestilah datuk ingat. Mustahil datuk
boleh lupa pada cinta pertama datuk dulu. Tapi…tunggu sekejap, jangan kata
budak tu adalah waris Tarry?” Duga datuknya. Dan ketika itu Robert hanya
mengangguk sambil menghadiahkan senyuman yang cukup bermakna.
“ Jadi kamu dah jumpa cucu dia? Betul
ke?” Bersungguh datuknya ingin tahu.
“ Yup. Memang saya dah jumpa. Dan dialah
orangnya yang saya pilih. Bukan ke itu hasrat datuk untuk mencari waris Tarry
kan. Kiranya hasrat datuk tu sudah pun saya capai.” Katanya dengan nada bangga.
Sir Qrsyt mula bangun dan berjalan ke tingkap pejabat cucunya itu. Sambil
memandang ke luar, senyuman mula terukir di bibirnya. Tak sangka hasratnya yang
lama dipendam sudah pun dilaksanakan oleh cucu kesayangannya itu.
“ Jadi, bagaimana dengan orangnya?
Adakah dia memiliki kemahiran seperti Tarry?”
“ Buat masa ni saya tak tahu lagi datuk.
Tapi saya sedang usahakan. Sebab tu saya mahu dia mendapat pendidikan di
akademi tu seperti mana neneknya belajar di sana. Tapi dari pemerhatian saya,
dia mewarisi kelebihan seperti Puan Tarry. Seperti mana yang datuk pernah
ceritakan pada saya dulu. Puan Tarry memiliki kelebihan deria rasa dan bau
dengan cukup baik. Jadi, begitu juga dengan Crystal.”
“ Iye ke? Jadi nama budak tu Crystal?
Cukup cantik namanya.” Puji datuknya dengan perlahan namun cukup didengari oleh
Robert.
“ Kenapa kamu tak bagitahu datuk hal ini
awal-awal lagi? Kalau datuk tahu, pasti datuk akan usahakan sesuatu. Jadi
takdelah mengganggu urusan kamu bekerja. Kamu sudah cukup sibuk uruskan hal
syarikat dan juga cawangan restoran di beberapa buah negara.” Kata Sir Qrsyt
lagi. Robert bangun dan berjalan ke arah datuknya.
“ Tak mengapa tuk. Lagi pun saya ingat
nak buat kejutan untuk datuk. Tapi apa boleh buat, khabar angin memang cepat
tersebar. Harapan saya cuma satu jelah tuk. Saya nak Crystal jadi seorang pakar
dalam bidang pastry. Bila dia dah capai tahap tu, bolehlah saya teruskan impian
datuk dulu. Saya nak dia bantu saya untuk uruskan beberapa cawangan restoran
milik kita tu dan juga saya nak dia terlibat dalam projek yang bakal saya
laksanakan tiga tahun lagi. Bukankah impian datuk dulu mahu Puan Tarry bekerjasama
dengan atuk? Tapi takdir menyebabkan Puan Tarry memilih jalan lain.” Luahnya.
Datuknya menoleh memandang ke sebelah. Dia menepuk bahu cucu tunggalnya itu.
“ Kamu memang cucu yang baik. Ye,
memang benar impian datuk mahu menjalankan perniagaan ni bersama dengan orang
yang tersayang. Tambahan pula Tarry memiliki bakat yang jarang orang lain ada.
Sebab itu datuk pilih dia. Tapi jodohnya dengan orang biasa. Siapa sangka,
seorang pembuat roti di kedai kecil di Kota Berrighd adalah pilihan hatinya dan
bukan datuk. Datuk memang kecewa yang amat. Tapi disebabkan kamulah Robert,
hati yang terluka ni mungkin akan pulih kembali. Kamu jangan lepaskan Crystal
tu. Walau apa pun berlaku, datuk nak kamu laksanakan impian tu. Boleh kan?” Sir
Cryst bercakap dengan penuh makna.
Robert hanya mengangguk setuju dengan
permintaan datuknya. Mula-mula dulu, dia memang ragu-ragu untuk teruskan hasrat
datuknya. Namun bila dia sendiri sudah berjumpa dengan Crystal, dia kini yakin
dengan apa yang dimaksudkan oleh datuknya itu.
*********************************************************
“ Baiklah, hari ni kelas kita seperti biasa.
Saya mahu kamu semua cuba buat mille crepe. Seperti yang kamu maklum, resipi ni
asalnya dari Kota Perancis. Resipinya saya dah tulis di papan putih ni. Resipi
yang saya tulis ni cumalah yang resipi asal. Untuk sebarang pengubahsuaian atau
tambahan yang kamu nak buat bergantung pada kreativiti kamu sendiri. Dan markah
akan diberi dari segi rasa, kreativiti, dan juga hasil crepe yang
dipersembahkan. Kamu semua boleh buat di tempat masing-masing. Seperti biasa, kalau
boleh saya nak, cuma ada tiga orang je yang buat kerja di satu tempat. Kamu
pelajar baru?” Tanya Chef Linda pada gadis yang berdiri di belakang sekali.
Crystal cepat-cepat mengangguk.
“ Hmm, siapa yang tak cukup ahli
kumpulan?” Tanya chef itu pada semua anak muridnya di situ. Ketika itu ada
seorang pelajar lelaki berambut hitam mengangkat tangannya.
“ Saya nak Crystal masuk kumpulan saya
chef.” Katanya. Semua yang berada di situ mula berbisik sesama sendiri. Tak
kurang juga yang mula jeling tajam padanya. Crystal dah mula tak sedap hati
lagi.
‘ Dah sudah, apa pula aku dah buat sampaikan
semua pelajar perempuan mula pandang aku semacam ni? Takkanlah sebab budak
lelaki tu pilih aku join kumpulan dia je penyebab diorang semua mula jeling aku
sampai macam tu sekali? Aduh….’ Bisik hatinya. Sarah dan Julie sudah mula
senyum bila pelajar lelaki itu memilih Crystal.
Ketika itu juga, seorang pelajar lelaki yang
lain mendekati pelajar yang bagi cadangan tadi.
“ Daniel! Apa kau buat ni? Kau nak
budak baru tu dalam kumpulan kita?” Marahnya. Daniel tersengih pada ahli
kumpulannya itu.
“ Rilekslah Sam. Lagipun ahli kumpulan
kita kan tak cukup. Tambah pula, Wong dah lama berhenti dari akademi ni. Dari
awal tahun, kumpulan kita cuma berdua je sejak Wong dah keluar. Inilah masanya
untuk kita recruit budak baru tu.”
“ Ho ho….kau tahu kan setiap ahli
kumpulan yang terlibat akan mempengaruhi markah prestasi kumpulan. Jadi kita
tak tahu lagi tahap budak baru tu. Entah dia tu mahir ke tak? Kita tak tahu
kan. Dibuatnya dia tu teruk dalam baking, habis kita Daniel. Kau tahu kan markah
kumpulan kita paling tinggi dalam kelas ni. Aku tak nak pula nanti sebab budak
baru tu, dia jejaskan markah kumpulan kita.” Samuel memberi alasan. Daniel yang
mendengar cuba berlagak tenang.
“ Sam, dengar ni. Aku nak dia masuk
kumpulan kita sebab nak tengok kemampuan dia. Selagi tak cuba kita tak tahu
kan. Jadi, mulai sekarang, kau cuba bertenang okay.” Balasnya selamba dan mula
berjalan ke arah Crystal.
“ Kamu Samuel, setuju tak dengan
pilihan Daniel untuk masukkan Crystal dalam kumpulan kamu?” Tanya Chef Linda.
Sam melepaskan keluhan dan hanya mengangguk lemah. Dia melihat ke arah
temannya, Daniel berborak dengan pelajar baru tersebut.
“ Saya Daniel dan yang tengah pandang kita
dengan pandangan tak puas hati tu Samuel. Boleh panggil dia Sam je. Mulai hari
ni, awak akan jadi ahli kumpulan kami. Semoga kita boleh bekerjasama nanti.”
Kata Daniel sambil menghulurkan salam perkenalan. Teragak-agak Crystal mahu
menyambutnya. Tambahan pula bila dia pandang Samuel yang melihatnya seperti
mahu cari gaduh. Apa kena dengan mamat tu?
Bila
Chef Linda mula mengarahkan mereka semua mengambil bahan untuk mula memasak, Daniel
mula meminta diri. Ketika itu, Sarah dan Julie datang hampir pada Crystal.
“ Crystal, awak bertuah tau sebab Daniel
pilih awak.” Bisik Julie perlahan di sebelah Crystal.
“ Hah? Apa yang bertuahnya? Lagi satu,
kenapa semua pelajar perempuan dalam kelas ni macam tak puas hati je dengan
saya? Saya ada buat silap ke?” Tanya Crystal ingin tahu. Sarah menepuk bahu
Crystal dengan perlahan.
“ Awak pedulikan jelah dengan diorang
semua tu. Mereka semua tu cemburu pasal Daniel pilih awak. Kalau awak nak tahu,
Daniel dan Samuel tu pelajar terbaik di akademi ni. Tambahan pula dua-dua ada
rupa yang kacak. Sebab tu semua orang jeles dengan awak.” Jelas Sarah. Crystal
terlopong.
‘Ah, sudah! Tak pasal-pasal sebab si Daniel
tu, aku dah jadi target anti dari semua pelajar perempuan di dalam kelas ni.
Apa ke malang sangat nasib aku ni? Dahlah hari pertama aku masuk akademi ni, si
Amanda dah cop aku jadi musuh dia, sekarang ni makin bertambah pula orang nak
jadi musuh aku. Huh!’ Rungutnya dalam hati.
“ Hoi, boleh tak kau jangan buang masa
untuk mengelamun. Cepatlah tolong ambil bahan.” Sergah Samuel dari belakangnya.
Terkejut Crystal dibuatnya. Sempat dia jeling tajam pada Samuel. Lelaki tu pula
tak nak mengalah dan balas pandangan dari Crystal.
‘ Eh budak baru ni, nak je aku cepuk.
Nasib baik Daniel yang pilih kau. Kalau aku, memang takkan terima kau. Tapi
sebab Daniel kawan baik aku, aku mengalah je.’ Bisik hati si Samuel. Ketika itu
juga, Crystal segera bahagian tepung dan mula mencari tepung yang sesuai. Dia
melihat sekitarnya. Semua sudah mula membuat tugas masing-masing. Walaupun
tugasan kali ni dalam kumpulan, namun masing-masing tahu menguruskan bahagian
kerja mereka.
“
Hmm, bahan nak buat mille crepe?” Dia mula mengingati semula apa yang telah
diajar oleh Julie dan Sarah petang semalam.
“ Tak silap aku semalam Julie kata
pakai tepung kek pun boleh. Hmm, lagi apa ye? Hah, telur!”
“ Telur aku dah ambil dah. Kau pergi
ambil susu dalam peti tu.” Tiba-tiba ada suara yang bercakap di sebelahnya.
Bila dia berpaling, dia melihat Samuel mula berlalu dari situ.
“ Cet, suka sangat sergah aku macam tu. Mujur jantung aku ni tak lemah.” Bebelnya dengan perlahan. Walaupun dia
masih tak puas hati dengan tindakan Samuel tadi, dia tetap mengikut kehendak
lelaki itu. Segera dia mengambil susu kotak dan membawanya ke tempat di mana
ahli kumpulannya memasak.
“ Kau nak aku buat adunan dia ke
Daniel?” Tanya Samuel pada teman baiknya itu. Daniel cepat-cepat menggelengkan
kepala.
“ Kali ni tugasan tu aku nak Crystal
yang buat. Crystal boleh kan bancuhkan adunan.” Arah Daniel. Crystal tersentak.
Cepat-cepat dia mengangguk.
Dari gerak geri lelaki itu, kini fahamlah
Crystal bahawa Daniel merupakan ketua kumpulannya. Dia mengambil mangkuk dan
mula membuat adunan crepe. Apa yang diajar semalam oleh Julie dan Sarah masih
segar diingatannya. Mujur dia ni jenis cepat belajar. Cuma malas je kena ubah.
Samuel merengus. Dia mendekati Daniel. “
Selalu aku yang buat, kenapa kau suruh dia? Dibuatnya dia buat tak betul macam
mana?” Samuel meluahkan kerisauannya.
“ Bertenang…dia boleh punya. Kita
tengok dulu. Sementara tu, aku nak kau tolong buat krim kastard. Aku nak cairkan
coklat. Aku nak hias bentuk coklat tu, kemudian aku nak bekukan dalam bekas
sejuk sekejap. ” Balas Daniel.
“ Kau nak salut dengan coklat ke
nanti?” Tanya Samuel tentang pendapat dari Daniel. Daniel hanya mengangguk.
“ Lepas semua lapisan crepe tu kita
dah lapis dengan krim kastard yang kau buat tu, aku salut keseluruhan dengan
coklat cair, lepas tu atas crepe tu kita hias dengan buah-buahan. Sambil tu bila
coklat hiasan yang aku bekukan nanti, dah
betul-betul cantik bentuknya, kita boleh tambah hiasan tu bersama buah-buahan
tu nanti.” Daniel memberikan pendapat.
“ Untuk hiasan coklat tu kan, aku
cadangkan kau pakai coklat putih Daniel. Barulah nampak kontra sikit dengan salutan
coklat cair tu nanti.” Cadang Samuel pula. Sambil mereka berdua berbincang,
Crsytal memasang telinga untuk mendengar.
‘ Wah, boleh tahan juga idea diorang
berdua ni. Kalau akulah, aku buat biasa je. Takde pula aku nak terfikir sampai
macam tu sekali.’ Pujinya dalam hati. Sambil tu dia menumpukan perhatian
mengacau adunannya.
Tepung kek, susu, kuning telur, gula,
garam, dan sedikit butter adalah bahan yang digunakan. Segala kuantiti setiap
bahan tersebut dimasukkan dengan betul. Dia perlu pastikan tekstur yang
dihasilkan nanti memuaskan hati. Bila diimbas hal petang semalam masa dia
belajar buat crepe, ada yang hangus, ada yang tebal, dan ada juga hiasan yang
teruk. Bila teringatkan hal itu, dia senyum sendirian. Tapi bila sudah beberapa
kali buat kesilapan akhirnya dia berjaya juga hasilkan kepingan crepe yang
cantik dan sempurna. Mahu juga dia menangis bila tengok hasil sendiri berjaya
dibuat. Tergelak Sarah dan Julie dibuatnya.
Bila adunan sudah sebati, dia mula tapis
adunan tersebut dan diletakkan di dalam sebuah bekas dan ditutup dengan plastik
sebelum dimasukkan ke dalam peti ais selama 30 minit. Sementara itu, Daniel
memintanya mengupas buah kiwi dan strawberry. Bila 30 minit sudah berlalu, dia
mula memanaskan kuali leper di atas dapur. Diolesnya sedikit minyak pada kuali
tersebut sebelum dituangkan satu senduk adunan dalam kuali itu.
Dari jauh, Daniel dan Samuel perhatikan
cara Crystal memasak crepe tersebut. Chef Linda juga begitu. Dia perhatikan
pelajar baru tersebut dengan penuh perhatian. Dia mahu lihat sejauh mana tahap
kemahiran gadis itu. Di dalam hati chef tersebut penuh dengan perasaan ingin
tahu. Mengapa gadis ini yang menjadi pilihan Mr. Robert? Pasti ada sebab. Dia
harus cungkil sebab-sebabnya. Siapa yang tak kenal dengan Mr. Robert Cryst.
Chef pastry yang terkenal dengan kemahirannya dan juga memiliki beberapa
cawangan restoran dan kedai kek di beberapa buah negara.
Dia cuba perhatikan lagi teknik Crystal. Crystal
sendiri menghasilkan adunan tersebut dan cara dia memasak crepe itu, memang
agak berlainan sedikit. Dia melihat kepingan crepe yang sudah dimasak, tidak
terlalu nipis dan tak terlalu tebal. Memang sempurna. Bagaikan chef pastry yang
betul-betul mahir. Apa yang chef Linda tidak tahu mengenai Crystal, cuma
semalaman sahaja masa yang diperlukan untuk Crystal belajar menghasilkan crepe
sebegitu.
Bila semuanya sudah selesai, Daniel
mengangkat tangannya dan memanggil Chef Linda untuk merasa mille crepe yang
telah dihasilkan oleh mereka bertiga. Kagum wanita itu melihat hasil gabungan yang
direka. Dia mengambil sepotong crepe dan mula merasa. Saat crepe itu berada di
lidahnya, dia dapat rasakan kesedapan yang amat. Krim yang tidak begitu manis
dan sebati dengan gabungan crepe yang lembab dan tidak kering. Coklat cair yang
digunakan menambahkan keenakan crepe tersebut.
“ Hmm, bagus. Sedap. Memang cantik
hiasan awak ni. Dari semua segi, memang sempurna. Saya bagi markah penuh untuk
kumpulan ni. Crystal, memang tak silap Daniel recruit awak untuk jadi ahli
kumpulan ni. Awak bagaikan pelengkap dalam kumpulan ni. Bagus, bagus. Saya nak
lepas ni, tugasan seterusnya boleh mengkagumkan saya lagi seperti hasil untuk
hari ni. Boleh kan?” Katanya pada mereka bertiga. Daniel, Sam, dan Crystal
mengangguk serentak.
Dengan komen yang diberi sudah cukup
membuatkan Crystal tersenyum lebar. Dia memandang ke arah Sarah dan Julie dari
jauh dan senyum pada mereka berdua. Dalam hati dia mengucapkan terima kasih
pada dua gadis berkenaan kerana sanggup mengajarnya dari petang semalam
hinggalah hari sudah gelap. Sarah dan Julie mengangkat ibu jari dan membuat
tanda ‘thumbs up’ padanya. Tersengih Crystal bila melihat gelagat
teman-temannya itu.
Pada masa itu juga, Sam mengambil
kesempatan untuk merasa mille crepe hasil kumpulan mereka. Dia cuma mencubit
kepingan crepe dan dimasukkan ke dalam mulut. Dia mahu merasa sendiri apa yang
dihasilkan pelajar baru tersebut. Memang sempurna…walaupun cuma kepingan crepe
biasa, namun hasilnya memang sangat memuaskan. Dia mengalihkan pandangan pada
Crystal.
‘ Dia ni ada teknik kemahiran yang sangat bagus.
Sedangkan benda asas macam ni pun dia boleh masak dengan sempurna, apatah lagi
dalam buat dessert yang lain. Aku tak sabar nak tengok hasil kerja dia yang
lain lepas ni.’ Pujinya dalam hati. Dia tak mahu puji Crystal depan-depan. Nanti
jatuh pula egonya.
Ketika
itu juga, tanpa dia sedari bibirnya mula mengukirkan senyuman. Daniel yang melihat
gerak-geri Sam dari jauh mula tersenyum. Nampaknya Samuel mula sudah bukakan
hatinya untuk menerima ahli kumpulan baru itu. Dia kenal sangat dengan Samuel ni,
bukan senang nak buka hati lelaki ni untuk rekruit pelajar lain masuk dalam
kumpulannya. Sejak dari pemergian bekas ahli kumpulannya dulu, Wong, Samuel
bertekad mahu mereka berdua sahaja dalam kumpulan. Keputusan Wong untuk keluar
dari akademi tu cukup membuatkan Sam rasa kecewa yang amat. Baginya tiada siapa
yang dapat menggantikan tempat Wong dalam kumpulan tersebut.
Kini dengan kehadiran Crystal di akademi
ni sudah pun lengkapkan kumpulan mereka. Dia cukup bersyukur. Lepas ni bolehlah
dia hubungi temannya Wong dan memberitahu khabar berita yang menggembirakan
itu. Pasti Wong akan menarik nafas lega selepas ni.
* Wink2, entry sudah mari...jemput baca =)
wink...wink...wink...