Cerpen : Ais & BaTu ...
.
Satu persatu helaian
kertas itu disemak. Bila sudah hampir semuanya ditanda dengan pen merah, dia
menguap besar dan mula mengeliat. Cermin matanya dibuka dan mata itu digosok
perlahan. Baru matanya mahu berehat sebentar dengan lelapan, ketukan di muka
pintu sudah pun mengganggunya. Dia berpaling. Kelihatan pemuda yang sebaya
dengannya sengih padanya.
“ Busy ke?” Tanya pemuda tersebut. Aiman menjawab
dengan gelengan. Izwan masuk dan duduk di katil sepupunya itu.
“ Kau bila sampai?” Tanya Aiman pula.
“ Baru je. Kau buat apa ni sampai kereta
aku masuk laman rumah pun kau tak dengar. Tu nasib baik mama kau ada kat bawah.
Aku ingat rumah ni kosong je takde orang.” Balas Izwan.
“ Aku habiskan mark paper budak kelas aku
ni. Dua kelas aku habis tanda. Senang habiskan awal-awal.” Ulasnya. Kemudian
dia mengeliat dan menguap lagi untuk kali yang ke berapa. Izwan yang melihat gelagat sepupunya itu menggeleng perlahan sambil tersenyum.
“ Kau ni man, hari minggu macam ni pun
sibuk kau buat kerja. Jomlah kita keluar. Takkan kau nak terperuk lagi dalam
bilik. Lagi pun dah siap kan kerja kau tu.” Cadang Izwan. Aiman menoleh padanya
sambil buat muka sebal dan sempat menggaru kepalanya yang mula gatal itu.
“ Malas…” Ringkas dan pantas Aiman
menjawab cadangan dari sepupunya. Izwan menahan geram melihat Aiman yang mula
menyusun timbunan kertas ujian anak
muridnya. Sambil itu dia masih lagi tak habis-habis menggaru kepalanya.
“ Hoi, kau dah berapa lama tak shampoo
rambut kau? Hish, pening aku tengok kau ni tau. Cubalah kemas sikit diri kau
tu.” Sekali lagi Aiman buat muka selamba mendengar ceramah percuma dari Izwan.
Dia kenal sangat Izwan ni. Pantang tengok orang lain selekeh depan dia, gerenti
mesti kena tembak dengan bebelan mengalahkan mak orang. Mama aku pun takde nak
bising macam kau Izwan wei…
“ Ala kau ni. Nanti aku mandi aku
bersihkanlah rambut aku ni. Asal kau datang sini je mesti kau bagi bebelan free
kan. Kalah mak orang tahu tak.” Balas Aiman. Izwan mula bangun dan mendekati
sepupunya itu. Baju t-shirt yang tersarung di tubuh sasa Aiman mula ditariknya.
Terkejut Aiman dengan tindakan mengejut dari sepupunya itu.
“ Woi woi! Kau nak buat apa ni?!” Aiman
mula meninggikan suaranya pada Izwan. Izwan pula berusaha membuka t-shirt dari
tubuh Aiman.
“ Aku nak kau pergi mandi sekarang. Aku
tak kira, aku nak kau shampoo rambut kau tu bersih-bersih, lepas tu dah siap
kita keluar. Cepat ar buka!” Izwan berkata selamba. Aiman tercengang.
Ni mesti dah capai tahap dimana Izwan dah
tak boleh sabar melihat dirinya yang selekeh bagaikan tak mandi dua hari. Izwan
ni memang terkenal dengan dirinya sentiasa kemas dan bersih. Kalau pergi rumah
dia pun boleh tahu dengan melihat setiap ruang dirumahnya sentiasa bersih dan
cantik.
“ Aku tak naklah wei! Malas tahu tak!
Malam karang aku mandilah. Boleh jimat air mandi sekali sehari!” Sempat Aiman
membidas.
Izwan
berhenti dari bergelut dengan sepupunya. Dia melepaskan keluhan. Kenapalah aku
dapat sepupu selekeh macam ni. Haish! Disebabkan bengang dia tak hilang lagi,
Izwan mula mengetuk kepala Aiman dan kembali bergelut untuk cuba membuka baju
lelaki tersebut. Dia kena juga paksa Aiman pergi mandi. Lagi pun dia ada hal
penting nak ajak Aiman keluar hari ini. Dalam mereka berdua bergelut dan
bergaduh dan masing-masing tidak mahu mengalah, pada masa itu pintu bilik
dibuka dari luar.
“ Oh my…” Terbit perkataan itu dari bibir
gadis remaja itu dengan muka selamba.
Aiman dan Izwan berhenti bergelut dan
serentak mereka memandang ke pintu. Berdiri Sofea, adik perempuan kepada Aiman.
Untuk beberapa saat, Sofea tidak lepas pandang kedua-dua lelaki yang di
depannya. Dia melihat abang sepupunya Izwan yang cuba membuka baju abangnya.
Lepas tu dihalakan pandangannya pada abangnya pula yang sedang memegang kedua
belah pipi Izwan. Suasana sepi untuk beberapa saat dan kemudian….
“ Mama! Abang ngah dengan Izwan buat
perkara sumbang dalam bilik!” Selamba Sofea menjerit ke tingkat bawah. Izwan
dan Aiman cepat-cepat meleraikan pergaduhan mereka dan mula serentak berlari
mendapatkan gadis itu. Kini Sofea pula menjadi mangsa ketukan dari dua pemuda
tersebut.
******************************************************
Keluhan dibibir pemuda itu dikeluarkan untuk kali yang ke lima. Bila dia menoleh ke sebelah, Izwan
memandu dengan senyuman yang tak lekang di bibir tanda dia menang. Bukan senang
nak ajak sepupu dia si Aiman ni keluar hujung minggu.
Kali
ini, sengaja Aiman mengeluh dengan lebih kuat lagi. Dia mula menunjukkan tanda
protes bagaikan kanak-kanak yang tak puas hati. Dahlah tadi kena sakat lagi
dengan adik perempuan dia. Lepas tu tak pasal-pasal kena cop gay dengan abang sulung
dia. Ni semua sebab mamat sebelah ni. Hai la…apalah nasib aku ni!
Izwan memberhentikan kereta apabila lampu
isyarat mula bertukar ke warna merah. Dia memandang pada Aiman pula.
“ Kau ni apahal? Asyik mengeluh je. Tak
elok tahu tak.” Katanya. Mendengarkan nasihat percuma dari Izwan lagi, sengaja
Aiman mengeluh lagi.
“ Maaflah wei, aku kacau hari minggu
kau. Aku bukan apa, hari ni aku ada date dengan Qarina. Kau tahu jela bapa
Qarina tu macam mana. Dia tak bagi anak dia berdua je dengan aku kalau
berjalan-jalan kat luar ni.” Luah Izwan. Aiman menoleh memandangnya. Bila lampu
merah sudah bertukar hijau, Izwan meneruskan pemanduan.
“ Dah tu? Apa kena mengena dengan aku
ni? Yang kau sibuk seret aku ke sana sekali ni buat apa?” Sengaja Aiman berkata
begitu. Izwan mendengus. Lansung takde rasa belas kasihan betul mamat ni. Sabar
jelah.
“ Aku nak kau tolong aku.” Ringkas
Izwan meminta padanya.
“ Malas!” Belum sempat Izwan nak
sambung cakap lagi, Aiman dah membantah dulu. Serentak itu sengaja Izwan
memberhentikan kereta dengan mengejut. Hampir-hampir sahaja Aiman terhantuk.
Mujur dia pakai tali pinggang keledar.
“ Woi! Gila ke! Kau nak aku mampus ke
apa?” Bising Aiman dibuatnya. Izwan tersengih penuh makna. Dia dah tahu
awal-awal sepupunya itu pasti akan menolak permintaannya. Sengaja dia buat
begitu untuk dapatkan lebih perhatian dari jejaka yang hati batu ni.
“ Kau nak tolong aku ke tak?” Izwan
bertanya sambil tersengih sinis. Aiman kembali menenangkan diri dan menoleh
memandang ke luar.
“ Malas…” Sekali lagi perkataan itu
keluar dari bibirnya. Pada masa itu juga, Izwan kembali memandu dan berhenti
secara mengejut lagi. Hampir luruh jantung Aiman dibuatnya.
“ Woi!” Marah lelaki itu. Izwan
mengangkat kening sambil senyum penuh makna.
“ Aku akan buat perkara ni berulang
kali sampailah kau akan sebut perkataan yang aku nak dengar.” Ugutan yang
sengaja direka itu membuatkan Aiman bertambah berang melayan kerenah sepupunya
yang seorang ini. Bila tidak ada dengar suara yang keluar dari bibir Aiman,
Izwan sekali lagi mula memandu, dan serentak dengan itu Aiman mula memegang
tali pinggang keledarnya dengan erat.
“ Yela! Yela, aku tolong!!” Jeritnya.
Izwan tersenyum puas. Aiman menarik nafas lega.
“ Aku boleh tolong, tapi dengan
syarat.” Pinta Aiman pula.
“ Betul ni? Okay okay. Bagitahu je
syarat apa. Aku akan tunaikan.” Beriya Izwan berkata.
“ Jangan kau ganggu hidup aku lepas
ni.” Ujarnya ringkas. Izwan yang mendengar ketawa.
*****************************************
Pandangan matanya masih lagi menghadap
lelaki itu yang selamba makan burger dengan lahapnya. Tak cukup dengan tu,
comot bibir pemuda tersebut bila sos lada hitam melekat di pinggir bibirnya.
Tak padan dengan rupa macho, tapi perangai selekeh!
“ Mana kak Qarina dengan abang Izwan
ni? Lambatnya…kata nak cari barang sekejap je.” Rungut gadis itu dengan
perlahan sambil melihat jam tangannya.
Sebenarnya
dia dah tak tahan duduk dengan lelaki yang datang bersama dengan pakwe kakaknya
itu. Ni kalau abah yang beria-ia suruh ikut kakak dia keluar sekali, memang
takkan dia jejak sini hari ni. Baik duduk rumah layan filem melayu yang baru
didownload semalam. Aiman pula buat tak kisah. Padahal dia dengar rugutan gadis
itu tadi. Habis makan selamba je dia sendawa dengan kuat. Bukan sengaja, dah
terkeluar. Gadis di depannya mula memaperkan wajah yang agak terkejut dengan
kelakuan Aiman.
“ Huk aloh, kot ye pun agak-agaklah wei.
Nah tisu, lap mulut kau tu. Makan comot. Tak padan dengan dewasa.” Selamba Sara
berkata sambil menghulurkan sehelai tisu. Aiman tidak menyambut huluran
tersebut, sebaliknya pandangannya tak lepas dari memandang wajah Sara. Serba
salah gadis itu dibuatnya.
“ Kenapa?” Tanya gadis itu. Aiman segera
mengambil tisu yang dihulurkan dan menyapu kesan comot itu tadi.
“ Ada kesan coklat kat pipi kau.” Kini
Aiman pula selamba membalas.
Dalam hati dah nak ketawa dah bila melihat
gelagat Sara dengan tergesa-gesa mengeluarkan cermin kecil dalam beg bimbitnya.
Di dalam cermin, memang benar ada kesan ais krim coklat yang baru dimakan tadi
tercalit di pipinya. Aduh! Malu malu!! Maknanya selama dia tunggu lelaki ni
makan sampai habis, selama tu lah lelaki tu perasan muka dia comot. Hantu tul!
Bukan nak bagitahu awal-awal.
Aiman senyum sinis pada gadis itu. Dia
teringat rancangan sepupunya tadi. Kalau tak fikir si Izwan tu sedara dia, dah
lama dia tanam hidup-hidup lelaki tu. Tak pasal-pasal asyik dia je kena tolong.
“ Aku nak kau tolong temankan adik awek
aku. Qarina cakap dia boleh keluar kalau adik dia teman. Tapi aku nak luangkan
masa berdua je dengan dia. So, aku harap kau boleh alihkan perhatian adik dia
untuk kejap je. Tak lama pun kitorang berdua dating. Petang karang, sebelum
pukul enam aku bawa kau balik. Okay?” Izwan berkata. Aiman menahan geram.
“ Banyaklah kau punya okay! Kau kalau
tak huru harakan hari cuti aku memang tak sah. Fine, kali ni je aku tolong.
Next time jangan harap.” Balasnya. Izwan senyum gembira.
Lamunannya terhenti apabila terdengar
deringan telefon bimbit milik gadis didepannya. Sara menjawab panggilan
tersebut seketika. Aiman boleh nampak reaksi wajah gadis itu mula berubah
seakan geram. Mungkin Sara baru sedar yang dia dijadikan alasan untuk
menemankan kakaknya.
“ Hampeh punya kakak! Hancur plan cuti
aku hujung minggu ni.” Rungutnya sambil menyimpan semula handset ke dalam beg.
Kini matanya bertentang mata dengan Aiman. Dia mengeluh.
“ Kau tahu ke pasal plan diorang?” Tanya
Sara pada Aiman.
“ Tahu. Tapi jangan ingat aku sengaja nak
bersubahat dengan mamat senget tu. Aku pun mangsa keadaan.” Terang Aiman. Sara
diam. Tak jadi nak marah bila lelaki itu bercakap begitu. Keadaan kembali sepi.
Aiman mula rasa bosan dan mengeluh. Dia bangkit dari duduk dan memandang gadis
di depannya.
“ Kau nak duduk sini je ke? Aku nak pergi
kedai buku ni.” Katanya. Sara hanya memandangnya. Kemudian gadis itu turut
bangun.
“ Hmm, aku pun nak pergi sana. Boleh juga
cari novel sementara nak menunggu kakak aku tu.” Balasnya.
“ Suka hati kau lah.” Aiman berkata
sambil mengusap belakang lehernya. Ketika itu, entah di mana silapnya, hampir
sahaja Sara terjatuh. Namun mujur Aiman sempat menyambutnya dek reaksi yang
spontan. Kedua-dua terpaku dan saling bertentang mata.
“ Oh my…” Sapa seseorang. Kini Aiman dan
Sara menoleh pula ke arah suara tersebut. Berdiri adik Aiman, Sofea bersama
mamanya, Puan Munirah. Sofea dan mamanya tersengih.
“ Tak sangka pula angah ni rupanya bukan
gay.” Selamba Sofea berkata begitu. Sehari tak mengusik abang ngah dia, memang
tak sah. Sara dan Aiman kembali bertentang mata, kemudian cepat-cepat
melepaskan pegangan tangan masing-masing.
“
Mama, buat apa kat sini?” Aiman cuba mengawal rasa gugupnya. Kenapalah adik
bongsu dia selalu muncul pada masa yang tak sesuai. Hmm…
“ Saja datang sini. Shopping. Bukan
angah keluar dengan Izwan ke tadi? Mana dia?” Tanya Puan Munirah.
“ Dia…dia… entah.” Balasnya. Memang
betul Aiman tak tahu mana mamat tu pergi.
“ Owh, okay. Ni siapa?” Tanya mamanya
pada gadis di sebelah Aiman.
“ Sara. Err, kawan.” Aiman membalas. Sara
di sebelah buat muka pelik. Kenapa perlu lelaki ni gugup.
Aiman mengelap peluh di dahinya. Dia bukan
apa. Mama dia ni bersikap pelik sikit. Pantang kalau nampak anak lelaki dia
dengan perempuan lain, habis semua andaian mama dia fikir. Dia tak mahu mamanya
fikir yang bukan-bukan. Puan Munirah
berjalan menghampiri Sara dan dipegang kedua-dua belah tangan gadis itu.
Pandangan matanya penuh sinar harapan. Sara terkedu dengan tindakan tiba-tiba
itu.
“ Mama! Apa mama buat ni?” Bising Aiman dengan
tindakan ibunya itu. Habislah, dah mulalah tu…
“ Sara, terima kasih sebab sudi jadi
teman pada anak mak cik ni. Mak cik bukan apa, risau tengok anak laki mak cik
yang sorang ni. Dia ni dahlah hati batu, susah nak tengok dia keluar dengan
perempuan, apatah lagi nak tengok dia bercinta.” Kata Puan Munirah dengan
senyuman yang tersirat. Sara terpaku. Tak tahu nak bagi reaksi apa bila keadaan
tiba-tiba ni muncul.
“ Mama!” Aiman menjerit. Sofea mula gelak
dengan sinisnya. Suka dia tengok keadaan yang berlaku sekarang ni.
“ Apa kamu ni angah. Ada kawan perempuan
bukan nak bawa balik rumah. Cubalah kenalkan dia dengan mama elok-elok. Ni
sembunyi-sembunyi…” Puan Munirah marah pula anak lelakinya itu. Aiman dah buat
muka sebal. Ni yang malas ni.
“ Er, mak cik…” Sara mula menyampuk bila
keadaan dah jadi makin huru hara. Namun belum sempat dia berkata lagi, Puan
Munirah memegang bahunya pula.
“ Sara, nanti next week datang rumah mak
cik tau. Mak cik nak kenal lebih rapat dengan Sara. Okay.” Bagitahu Puan
Munirah.
“ Err, tapi…” Sekali lagi Sara mahu
menyampuk, namun dia terhenti bila ternampak kelibat ibunya yang tiba-tiba
berjalan menghampirinya.
“ Ibu?” Katanya dengan rasa yang
terkejut. Apa pula ibu aku buat kat sini ni. Bukan dia pergi kenduri rumah Pak
long ke?
“ La adik ada kat sini ke. Abah kata
adik dengan kakak pergi shopping. Mana kakak?” Sapa Puan Mas. Dia memandang
insan-insan di depannya. Bila pandangannya bertemu dengan Puan Munirah, mereka
berdua terkedu.
“ Mas!” Kata Puan Munirah.
“ Munirah!” Kata Puan Mas pula. Sara dan
Aiman mengerutkan dahi. Diorang kenal ke?
“ Ya Allah, Mas! Lamanya aku tak jumpa
kau! Rindu rindu rindu.” Puan Munirah segera memeluk teman lamanya itu. Puan
Mas membalas pelukan tersebut dengan gembira.
“ Kau apa khabar Mun? Lamanya tak jumpa
kau. Tak sangka kita boleh bertemu masa ni. Rindu aku kat kau Mun. Tak berubah
pun kau.” Balas Puan Mas pula.
“ Ish, tipulah kau ni Mas. Aku ni makin
gemuk ha. Perut dah buncit. Kau tu yang tak berubah, lawa macam dulu juga.”
Puan Munirah sempat memuji. Perbualan mereka yang rancak itu membuatkan Sara
dan Aiman mengeluh secara serentak dan saling berpandangan antara satu sama lain.
“ Eh Mun, kau buat apa kat sini? Ni
anak-anak kau ke?” Tanya Puan Mas sambil memandang Aiman danSofea.
“ Ha’ah. Ni anak kedua aku, Aiman. Ni
anak bongsu aku, Sofea. Yang sulung ada kat rumah. Ni anak perempuan kau ke
Mas?” Tanya Puan Munirah pula. Puan Mas mengangguk.
“ Ni anak bongsu aku. Aku ada dua anak
je Mun. Dua-dua perempuan.” Jawabnya.
“ La, yeke. Berjodoh kita ni ye. Bukan
kita je, anak aku Aiman ni senyap-senyap bercinta dengan anak kau Mun. Tak
sangka aku.” Aiman menepuk dahinya sekuatnya hati bila dengar mamanya berkata
begitu. Sara pula rasa macam nak tercekik dengar perkataan cinta tu.
“ Iye? Sara, kenapa tak bagitahu ibu.
Lah, bagus sangatlah Mun kalau anak kita berdua bercinta. Tak lama lagi berbesanlah
kita. Aku bukan apa Mun, anak dara aku sorang ni tak pernah pun nak bawa kawan
lelaki dia balik rumah untuk kenalkan kat aku. Risau aku kalau dia tak kahwin
nanti. Asyik membujang je, umur dah makin meningkat. ” Kata Puan Mas dengan
hati yang riang. Sara mula menggegam penumbuknya dengan erat. Ni apahal tetiba
perkara malang ni berlaku pada dia. Bercinta? Huh! Dengar perkataan tu pun dia
naik muak. Apatah lagi nak bercinta.
“ Mama…”
“ Ibu…” Serentak mereka berdua memanggil
emak masing-masing. Puan Munirah dan Puan Mas berhenti berborak dan
memandang mereka berdua.
“ Sebenarnya….” Tak sempat mereka berdua
nak jelaskan, Sofea tiba-tiba menyampuk.
“ Ha, mama, Mak Cik Mas, jom kita pergi
singgah restoran mana-mana nak. Tak eloklah bersembang macam ni. Confirm mama
dengan mak cik banyak lagi hal yang nak dibualkan kan?” Kata Sofea. Dia
memandang abangnya disebelah dan diberi senyuman paling sinis. Kini Aiman pula
yang menggegam penumbuknya sekuat hati. Ni kalau kat rumah ni, dah lama dia
ketuk kepala adik dia.
“ Iye tak ye juga. Jomlah Mas, kita pergi
duduk mana-mana. Banyak aku nak cerita kat kau ni.” Kata Puan Munirah.
“ Boleh je. Jom Sara, ikut ibu sekali.”
Ajak Puan Mas. Namun Sofea menghalang.
“ Mak cik, biarlah anak mak cik ni
berjalan dengan abang saya. Bagi privasi sikit.” Cadangnya. Ketika itu Sara dan
Aiman dah mula bagi jelingan tajam yang baik punya kat gadis remaja tu. Sofea
tersengih.
“ Betul juga tu kan. Jomlah, kita
bertiga je yang pergi. Aiman, jaga Sara tu baik-baik.” Sempat Puan Munirah
berpesan.
“ Tapi…tapi..” Tak sempat Aiman nak cakap apa-apa, mereka
bertiga dah berlalu dari situ dengan cepatnya.
“ Kurang asam punya adik! Siap kau kat
rumah nanti!” Katanya dengan perasaan geram yang membuak-buak. Dari jauh, Sofea
sempat mengenyit pada Aiman dan Sara. Kini keadaan kembali sepi. Sekali lagi
mereka berdua berpandangan dan mengeluh dengan serentak.
“ Sorrylah wei, keluarga aku ni pelik
sikit.” Sempat Aiman menjelaskan tentang hal keluarganya. Sara tersenyum.
“ Aku nampak tu. Samalah macam keluarga
aku juga.” Balasnya. Kini Aiman pula tersenyum.
********************************************
“ Dik!” Tercekik Sara dibuatnya bila
tiba-tiba je disergah macam tu. Dia mengambil air minuman dan segera minum.
Kemudian dia memberikan jelingan tajam pada kakaknya yang tiba-tiba muncul di
ruang makan.
“ Apa?! Panggil elok-elok boleh tak. Ni
tidak, suka sangat buat orang terkejut. Nak makan pun susah.” Bebelnya. Qarina
tersengih. Dia duduk berhadapan dengan adiknya.
“ Akak dah dengar dari ibu tadi. Ibu kata
next week ada rombongan nak datang meminang.” Katanya. Sara meneruskan suapan.
“ Hmm, baguslah tu. Tak payahlah akak asyik
pergi dating sorok-sorok lagi.” Balas Sara.
“ Bukan meminang akaklah. Izwan tu duit dia
tak cukup lagi. Belum masanya lagi dia masuk meminang. Rombongan tu untuk kau
lah adik wei.” Jelas Qarina. Sara yang tengah makan terus tersembur nasi dari
mulutnya. Tepat kena muka kakak dia. Qarina mengetap bibir.
“ Kau agak-agaklah kak. Nak bergurau pun
carilah masa yang sesuai. Kan dah kena sembur. Sorry kak, aku terkejut dengar
kau bergurau tadi.” Katanya sambil sempat mengambil tisu dan mula mengutip sisa
nasi di muka kakaknya. Padahal ikutkan hati dia nak tergelak je kat situ. Dia
pun tak jangka boleh tersembur masa tu.
“
Ish kau ni! Akak tak berguraulah. Ibu dengan abah serius tadi cakap kat akak.
Siapa tu sepupu Izwan tu? Hmm, ha! Si Aiman tu nak merisik kau.” Jelasnya
sambil membersihkan muka di sinki.
Sara terkedu. Qarina mengelap mukanya
dengan kain tuala kecil dan memandang adiknya yang duduk terpaku di situ.
“ Hoi, yang kau ni kenapa dik? Hello!!”
Qarina memanggil adiknya sambil melambaikan tangan di depan muka Sara.
Tiba-tiba Sara bangun dan memegang bahu kakaknya dengan kuat.
“ Kak! Pakwe kau ada kan nombor telefon
Aiman tu?” Tanyanya terburu-buru.
“ Err…mestilah ada. Diorang kan sepupu.
Kau ni kenapa dik? Tiba-tiba je, takut akak tengok kau macam ni.” Katanya. Sara
mendekatkan rupanya dengan wajah Qarina dan memberikan pandangan maut.
“ Adik nak nombor dia. Dengan SEGERA….”
Katanya dengan perlahan namun cukup buat kakaknya menelan air liur.
********************************************
Aiman menggaru kepalanya dengan kasar.
Pening dibuatnya dengan ahli keluarga dia. Dia memandang ke sebelah. Sara macam
dalam dunia dia sendiri. Gadis itu ternganga sambil matanya dihalakan ke
langit. Berkerut dahi Aiman melihat kelakuan Sara bila dia dah jelaskan apa
sebenarnya yang berlaku.
“ Woi woi, tutup mulut kau tu. Masuk lalat
nanti baru tahu.” Tegurnya. Sara tersentak. Dia memandang Aiman. Sambil tu
sempat dia mengimbas apa yang Aiman jelaskan tadi.
“ Mama aku dengan ibu kau dah bertekad
nak kahwinkan kita. Aku dah puas jelaskan kat mama, semua yang berlaku hari tu salah
faham. Tapi dia macam dalam dunia sendiri. Kata-kata aku lansung tak masuk
telinga dia. Dah tu, boleh pula time ni, datuk aku buat cerita sedih kononnya
nak tengok salah seorang cucu dia kahwin dulu sebelum dia sempat menutup mata.
Padahal sihat walafiat lagi tu. Haish…”
“Aiman…” Panggil Sara. Aiman menoleh
memandangnya. Kini mata mereka bertentang.
“ Kenapa aku rasa macam hidup kita
berdua ni macam dipermainkan je. Kenapa hal macam ni perlu berlaku pada aku
dengan kau. Kenapa?!” Kata Sara. Aiman menggaru kepalanya.
“ Aku tak tahulah wei. Aduyai!Pening
pening!”
“ Jadi kau nak teruskan ke rancangan
mama kau tu?” Tanya Sara.
“ Kau tak payah tanya akulah. Kau
sendiri dah ada jawapan dia kan. Sedangkan kita berdua ni pun tak berapa kenal
sangat. Gerenti kau pun tak nak kahwin dengan aku kan. Mestilah kau nak cari
suami pilihan kau ye tak.” Jelas Aiman. Sara menunduk.
“ Ikutkan hati memang betullah tu. Tapi
aku dah serik nak bercinta lagi. Cukuplah dulu jadi pengalaman untuk aku.” Luah
Sara. Aiman memandang wajah gadis itu. Ada riak sedih yang terpamer di muka
Sara.
“ Orang yang aku sayang sepenuh hati
khianati aku. Dalam senyap dia bercinta dengan kawan baik aku. So, sejak tu lah
aku tanam dalam hati aku ni untuk tak mahu bercinta lagi.” Sambungnya.
“ Itu apa yang kau cuba tanam. Tapi
kadang-kadang benda yang ditanam tu boleh ditimbus semula bila kau dah jumpa
lelaki idaman kau. Jadi kalau dah perkara tu berlaku, kalau boleh cuba tanamkan
pula perasaan tidak putus asa dalam mencari kebahagian kau sendiri.” Tiba-tiba
Aiman menuturkan kata begitu. Tidak lama kemudian Aiman bagaikan tersedar, dia mengetuk
kepalanya sendiri. Ni apa kes tiba-tiba aku boleh bagi nasihat kat minah ni.
Buang tebiat ke apa aku ni?!
Sara memandangnya lama. Dia tersenyum.
Walaupun hanya ringkas kata-kata yang dituturkan oleh Aiman, sudah cukup
mengembalikan semangatnya. Sara mahu bercakap sesuatu kepada lelaki itu, namun
perbuatannya terhenti apabila telefon bimbit milik Aiman berbunyi. Lelaki itu
menjawab panggilan tersebut. Sara hanya memandang lelaki itu tanpa berkelip.
Walaupun pertemuan pertama kali dengan lelaki itu dulu memberikan tanggapan
yang tak berapa nak indah, namun dia boleh nampak. Disebalik lelaki yang
selekeh bila bab makan, yang tak reti ambil hati perempuan bila bercakap,
rupa-rupanya di sebalik sifat semua itu, sebenarnya tersirat sifat yang baik
ditanam dalam hati pemuda tersebut.
“ Apa?! Datuk pitam? Habis tu, kat mana
sekarang ni?Ha? Okay okay. Nanti angah terus pergi sana.” Terus talian
dimatikan. Aiman memandang Sara.
“ Aku nak kena pergi hospital ni.
Nanti-nantilah kita bincang hal ni. Datuk aku pitam.” Terangnya.
“ Tunggu tunggu… Aku nak ikut.” Kata
Sara.
**********************************************
“ Kita
kahwin.” Perkataan yang dituturkan dari bibir lelaki itu membuatkan Sara
terkedu.
“ Eh?err..urm..aaa…err, aku tak salah
dengar kan?ke telinga aku problem?” Kata Sara. Aiman mengusap belakang lehernya.
Kemudian mula menggaru kepalanya.
“ Woi woi…” Sara memanggilnya. Dia
menghampiri pemuda tersebut.
“ Kau demam ke?” Tanya gadis itu.
“ Kenapa kau tanya aku macam tu?”
Tanya Aiman pula.
“ Yela, dah kau cakap benda pelik.”
Balas Sara pula. Aiman tersenyum.
“ Urm, memang mengarut je kan aku ni.
Okaylah aku jujur dengan kau. Aku nak ajak kau kahwin sebab ini permintaan atuk
aku sebelum semuanya terlambat. Kau pun nampak kan tadi dalam wad keadaan dia
macam mana.” Luahnya dengan wajah yang serius dan mula duduk di bangku hospital
yang disediakan.
Sara merenung lelaki itu lama. Ditilik
setiap inci wajah tersebut. Dalam diam dia simpati dengan perkara yang terjadi
terhadap lelaki itu. Menurut cerita dari ibunya, Puan Mas, Aiman memang rapat
dengan datuknya. Dan dari riak wajah lelaki itu, dia dapat rasa kesedihan yang
menggunung tertanam dalam diri pemuda tersebut.
“ Huh, hai lah! Aku ni dah gila agaknya.”
Tiba-tiba Aiman bersuara.
“ Kenapa kau cakap macam tu?” Tanya Sara
dengan perasaan pelik.
“ Sorry wei. Kau lupakanlah apa yang aku
dah cakap tadi. Mengarut je permintaan aku tu. Macam bodoh je aku ni. Soal perasaan
bukan boleh dibuat main.” Kata lelaki itu dengan senyuman. Namun bagi Sara, dia
boleh nampak senyuman yang dilemparkan itu dibuat-buat. Sara bangun dari duduknya.
“ Aku nak balik.” Kata Sara dan terus
berlalu. Aiman memandang sekilas belakang perempuan itu. Dia tersenyum sinis
pada dirinya sendiri.
“ Hai lah man. Dari dulu sampai
sekarang, kau selalu buat perempuan bengang dengan sifat kau ni. Apa nak
jadilah dengan kau ni man. Sekarang aku dah faham kenapa semua orang cakap hati
aku ni macam batu. Soal hati dengan perasaan pun aku ambil ringan macam tu.
Teruk aku ni.” Dia berbicara sendirian.
Wajahnya ditutup dengan kedua belah tapak
tangan. Seharian di hospital menanti datuknya sedar memang memenatkan. Dia rasa
mengantuk, namun digagahkan juga dirinya untuk berjaga. Datuknya selalu begitu,
bila sakit, pura-pura berlagak gagah dan sihat. Tapi kali ni, datuknya tidak
lagi dapat berlakon di depannya. Kenyataan dari doktor tadi cukup membuatkan
hatinya risau yang amat. Dirinya tersentak apabila terasa gegaran di poket
seluarnya. Handset dicapai dan dia melihat ke skrin. Ada satu mesej dari Sara.
Terus ditekan butang buka untuk dibaca kandungan mesej tersebut.
<Sejak
pertemuan pertama dengan kau masa aku kena kelentong dengan kakak sendiri, kau
berikan aku tanggapan yang lansung
bertentangan dengan lelaki idaman aku. Yela, kau dah makan pun comot,
pelahap. Dah tu tak reti nak ambil hati perempuan. Tapi bila kau cuba berborak
dengan aku, aku nampak diri kau yang lain. Jadi, bila dah semua selesai, cari
masa yang sesuai untuk merisik. Aku tunggu… lagipun, aku nak kenal dengan
lelaki yang selekeh ni dengan lebih mendalam. Dan maksud aku, sesi perkenalan
tu boleh dilanjutkan bila diri masing-masing dah halal untuk satu sama lain.>
Sender : Si comot
Setiap bait perkataan dibacanya dengan
teliti. Mesej dari gadis itu dibalas. Dalam diam, Aiman mengukirkan senyuman.
Sara yang sedang duduk di pondok bas,
menghadap panorama di jalan raya. Kenderaan berpusu-pusu bergerak di jalanan
menuju ke destinasi masing-masing.
Telefon bimbitnya berbunyi. Mesej dari Aiman dibuka.
<Perkara macam ni
memang kita tak jangka. Namun Dia yang maha berkuasa pengatur segalanya. Aku
pun nak kenal kau dengan lebih mendalam. Dan…thanks. By the way, kau pun lebih
kurang sama dengan aku bila bab makan. Comot juga. Tapi, dalam comot kau, tetap
comel.>
Sender : Man selekeh
Habis mesej dibaca gadis itu mula senyum dan
memandang ke langit. Walaupun hujan turun dengan agak lebat, namun dia dapat
rasa sinar yang mula timbul dalam hatinya yang dahulu dia cuba tanam. Kini perasaan
yang ditanam tu sudah pun ditimbus dengan perlahan-lahan.
***********************************************
Setahun berlalu….
“
Ish, makan pun comot. Malulah sikit, awak tu dah jadi laki oranglah.” Kata
gadis itu. Aiman menjeling isterinya di depan.
“ Hoi hoi, cakap orang, dia pun sama. Makan
aiskrim tak pernah berubah. Comot juga. Meh sini, abang lap. Hai lah, bini
siapa la ni.” Balas si suami. Sara tersengih bila jari suaminya mengelap
bibirnya. Berbunga hatinya dilayan begitu. Bibir suaminya juga dilap dengan
jemarinya.
“ Hmm, lupa pula, datuk pesan. Nanti
kalau kita balik kampung, dia suruh abang belikan keropok lekor banyak-banyak.
Nanti sayang ingatkan ye.” Kata Aiman. Sara mengangguk.
“ Kelakarlah datuk abang tu. Bila dah
sihat je, mesti teringin nak makan macam-macam. Macam abanglah, kuat
makan.” Balas si isteri.
“ Habis tu nak buat macammana. Ke mana
tumpahnya kuah kalau tak ke nasi kan.” Aiman berkata lagi. Sara ketawa
mendengarnya.
“ Sayang, abang laparlah. Takkan kita nak
makan aiskrim je.” Kata Aiman. Sara memandangnya.
“ Sabarlah bang. Lepas ni kita
pergilah makan.” Balasnya. Aiman mengeluh.
“ Tapi abang rasa macam takde faedah
buat kerja ni.” Luahnya. Tangannya diletakkan belakang bahu isterinya.
“ Abang ni spoil lah. Tak romantik lansung.
Apa salahnya kita tengok matahari terbenam. Lagi pun abang dah janji kan masa
malam perkahwinan kita tu. Bila kita tengah honeymoon nanti abang turutkan je
apa yang sayang minta masa ni.” Sara tetap dengan pendiriannya.
“ Habis tu dah sayang kahwin dengan
orang tak romantik ni nak buat macam mana. Dari kita tunggu matahari terbenam,
apa kata kita pergi cari restoran. Lagi pun baru pukul enam petang. Serius
abang lapar ni.” Balas Aiman pula. Sara memuncungkan bibir. Gadis itu mula
memeluk tubuh tanda protes.
“ Tak mahu! Sayang tetap dengan
pendirian sayang.” Katanya dengan penuh tegas. Aiman senyum melihat gadis yang
sah menjadi isterinya selama sebulan yang lalu. Sara masih lagi berpeluk tubuh.
Namun rajuknya pudar bila terdengar sesuatu yang datang dari perut suaminya.
“ Abang betul-betul lapar ke? Hmm,
kalau macam tu, jomlah kita pergi makan. Takpelah tak dapat tengok matahari
terbenam pun. Kesian abang lapar.” Kata Sara dengan senyuman. Aiman sengih
sambil memegang perutnya. Tepat pula masa ni perut nak bunyi.
“ Betul ni tak nak tengok matahari
terbenam. Esok pagi kita dah kena balik kL. Entah bila nak datang sini lagi.”
Sengaja Aiman menduga. Tadi bukan main degil macam batu. Ni tiba-tiba pula
mengalah.
“ Takpelah abang. Lagi pun kesian pula
tengok abang tahan lapar.”
“ Sayang, nak tahu something tak.
Sayang ni macam ais batu tahu tak. Bila kita letak dalam air, makin lama makin
cair.” Aiman berkata. Sara mengerutkan dahi.
“ Apa abang merepek ni? Sayang tak
faham maksud abang.” Balas Sara. Aiman senyum.
“ Maksud abang, walaupun bini abang ni
kadang-kadang keras pendirian macam batu, sayang tetap akan mengalah bila
melibatkan abang kan. Jadinya, bagi abang, pendirian sayang terhadap abang
bukanlah seperti batu, sebaliknya seperti ais batu. Jadi, faham tak?” Jelas
Aiman. Sara yang mendengar ketawa.
“ Abang ni kelakarlah. Pelik je tau
kata-kata abang tu. Hmm, abang pun dulu apa kurangnya. Bak kata sepupu abang
tu, si Izwan tu, dia kata abang hati abang macam batu. Sebab tu abang tak
pernah bercinta dulu kan.”
“ Alah, Izwan tu jeles. Lagi pun
bukan abang tak pernah nak cuba bercinta. Dah abang ni jenis tak pandai nak
ngorat perempuan. Abang sendiri pun tak tahu kenapa. Dah memang agaknya sifat
abang macam ni agaknya.” Mendengar suaminya berkata begitu, Sara senyum. Dia
menggegam tangan suaminya dengan erat.
“ Tapi bang, sekeras-keras batu pun.
Kalau ada usaha untuk dipecahkan, maka akan pecah jugalah batu tu. Kalau tak
pecah, macam mana abang boleh kahwin dengan sayang kan.” Balas Sara dengan
penuh makna. Aiman mengukirkan senyuman. Dia mencuit hidung isterinya dengan
mesra.
“ Pandai je bini abang ni. Sayang, sebenarnya
abang dah booking awal-awal kat restoran yang berhampiran dengan pantai. Jadi
abang booking tempat yang sesuai untuk kita tengok panorama kat situ. Jadi,
sambil kita makan, bolehlah tengok matahari terbenam. Abang tetap akan juga
tunaikan permintaan sayang tu.” Jelasnya. Sara terkedu.
“ Kenapa tak bagitahu awal-awal?”
Kata Sara.
“ Saja
nak tengok rupa bini abang yang comel ni merajuk.” Usiknya. Sara mencuit
pinggang Aiman dengan geram.
“ Abang ni saja je tau. Kan dah
kena. Kalau abang bagitahu awal-awal kan senang.” Kata Sara pura-pura marah.
Dalam hati gembira dengan rancangan awal yang dirancang suaminya itu. Aiman
bangun dari duduk dan mencapai tangan isterinya.
“ Jom, kita pergi.” Katanya.
“ Abang rasa teringin pula nak makan
ketam. Dapat sedap ni. Nak tak sayang, nanti kita order tom yam seafood nak?
Sedap tu…” Cadang suaminya.
“ Hmm, boleh. Tapi make sure abang
kupas ketam tu elok-elok. Nanti comot lagi.” Balas Sara dengan usikan. Aiman
ketawa. Begitu juga Sara.
Sara menggegam erat tangan lelaki yang kini
sudah pun termaktub dalam kategori lelaki idaman yang dia cipta. Mereka
berjalan seiring dengan senyuman yang tak lekang di bibir. Siapa sangka,
pertemuan pertama yang lansung tak pernah diduga akan berlanjutan, kini sudah
terkunci dengan ikatan jalinan yang sah. Memang benarlah, setiap insan di muka
bumi, sudah tertulis jodoh dan pasangannya. Kadang-kadang jodoh yang kita cuba rancang
tak semestinya ternoktah dengan perkahwinan. Dan kadang-kadang, jodoh yang
tidak pernah dicari, itulah yang menjadi permulaan titik kebahagiaan dalam diri
kita.
*******THE END*******
* Wink2, jemput baca cerpen yang seberapa ni. Btw, Selamat menyambut Tahun baru.. =)
yeahh.. best sgt.. sweet ending ^__^
nk lg..hhehe